suria

Terima jemputan Jokowi, Muhyiddin lawat Indonesia esok

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

TAN Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia bermula esok (Khamis) hingga Jumaat.

Lawatan Muhyiddin ke republik berkenaan adalah atas jemputan khas daripada Presiden Indonesia, Joko Widodo selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia pada Mac 2020.

"Atas dasar menghormati Indonesia sebagai rakan negara serumpun yang telah menjalin persahabatan akrab selama berpuluh tahun, Malaysia memenuhi jemputan ini.

"Memandangkan pandemik Covid-19 khususnya di Malaysia dan Indonesia masih berlarutan, YAB Perdana Menteri sendiri meminta agar lawatan rasmi bagi memenuhi jemputan Kerajaan Indonesia ini diadakan secara singkat iaitu kurang daripada 24 jam.

"Permintaan ini telah dimaklumkan dan diterima baik oleh Kerajaan Indonesia," demikian menurut kenyataan daripada Kementerian Luar pada Rabu.

Menurut kenyataan itu lagi, lawatan ini juga tertakluk kepada SOP pencegahan Covid-19 yang amat ketat seperti yang dipersetujui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Indonesia.

Pertemuan empat mata kedua-dua pemimpin tertinggi itu antara lain bagi membincangkan secara bersemuka beberapa penting melibatkan isu kerjasama ekonomi, keselamatan serantau dan dua hala serta usaha menangani secara bersama pandemik Covid-19.

Muhyiddin akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta jumlah delegasi yang kecil untuk meminimumkan risiko jangkitan Covid-19.

Katanya, program lawatan rasmi itu juga diringkaskan di mana Hishammuddin bersama beberapa orang pegawai kanan Kementerian Luar terlebih dahulu akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi sebelum lawatan rasmi Perdana Menteri bermula.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain