suria

Covid-19: 1,683 kes positif baharu termasuk 8 jangkitan luar negara, tiada kematian direkodkan

Sebanyak 1,683 kes positif Covid-19 direkodkan pada Jumaat. Foto: Bernama

SEBANYAK 1,683 kes positif Covid-19 direkodkan pada Jumaat, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 setakat ini sebanyak 90,816.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 15,140 kes.

Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lapan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan dalam negara pula adalah 1,675 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham, Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 692 kes, diikuti oleh Sabah 260 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 197 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, tiada pertambahan kes kematian dilaporkan pada Jumaat.

"Justeru jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 432 kes," katanya dalam satu kenyataan pada petang Jumaat.

Pada hari ini juga, 1,214 kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 75,244 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Untuk rekod semasa, 106 kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di mana 51 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Enam kluster baharu dikesan pada Jumaat iaitu Kluster Tapak Bina Lebuh, Kluster Sugud, Kluster Tapak Bina Jalan Tengah, Kluster Persiaran Height, Kluster Tembok Gajah dan Kluster Utama Rini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain