suria

Rakyat dan ekonomi sama-sama dilindungi! MPC sambut baik Belanjawan 2021

Selain melindungi rakyat dan menjamin kelangsungan ekonomi negara, Belanjawan 2021 juga memberi tumpuan kepada pengembangan teknologi dan digitalisasi. -foto IZZRAFIQ ALIAS/THE STAR

MENGIMBANGI kewajiban melindungi rakyat dan menjamin kelangsungan ekonomi negara!

Demikian pandangan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang menyambut baik Belanjawan 2021 bertemakan Teguh Kita, Menang Bersama yang dibentangkan pada Jumaat.

Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata belanjawan yang dirangka berdasarkan tiga matlamat induk iaitu Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Perniagaan dan Ketahanan Ekonomi amat bertepatan dengan strategi MPC dalam memperkasakan inisiatif peningkatan produktiviti dan daya saing di peringkat enterpris, sektoral dan negara.

"Peruntukan yang signifikan melalui pemberian insentif bersasar kepada enterpris bagi memastikan kelangsungan perniagaan dan meningkatkan produktiviti mereka juga telah diumumkan dalam belanjawan tersebut.

"Saya yakin bahawa strategi ini akan mempercepatkan lagi pemulihan perniagaan melalui peningkatan dalam produktiviti dan daya saing enterpris," katanya dalam satu kenyataan media.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen, Jumaat. -fotoBERNAMA

Menurut Abdul Latif, Belanjawan 2021 juga memberi tumpuan kepada pengembangan teknologi dan digitalisasi yang mana usaha ini sejajar dengan inisiatif di bawah Dasar Negara Mengenai Industry4WRD yang diterajui oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

"Peranan Miti bersama agensi seperti MPC dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mampu merealisasikan agenda transformasi industri dengan menjadikan teknologi dan digitalisasi sebagai pemboleh ubah strategik untuk memacu produktiviti negara," katanya.

Antara fokus lain yang diberikan adalah memacu pembangunan dan pertumbuhan guna tenaga masa depan negara melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif merangkumi transformasi kemahiran pendigitalan, reskilling dan upskilling.

"Strategi ini akan memastikan rakyat dari pelbagai peringkat menyiapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menghadapi masa depan yang sangat mencabar dan tidak menentu," katanya.

Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman

Menurut beliau MPC mengambil langkah memperkasa pembangunan ekonomi negara dengan menumpu kepada inisiatif pengukuhan daya saing enterpris melalui pembangunan pengetahuan dan kemahiran yang merupakan teras utama kepada pertumbuhan ekonomi.

Program Negeri Produktif bagi membantu sektor awam dan swasta meningkatkan produktiviti negeri akan terus diperkukuhkan.

"Dengan kerjasama kerajaan Negeri, MPC komited untuk membantu mereka membentuk ekosistem peraturan yang teguh melalui program-program Amalan Baik Peraturan.

"Di samping itu pada peringkat pusat, kerjasama dengan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) akan ditingkatkan lagi bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif," katanya.

Dalam pada itu kolaborasi bersama sektor awam dan swasta akan terus diperkukuhkan dalam melaksanakan inisiatif yang dirancang dalam pelan tindakan produktiviti di bawah Malaysia Productivity Blueprint (MPB) sejak tahun 2017 terutamanya untuk sembilan sektor utama yang diterajui oleh Nexus Produktiviti.

Selaras dengan Belanjawan 2021, penekanan akan diberikan terhadap inisiatif peningkatan produktiviti dan inovasi dalam industri pertanian, kelangsungan industri pelancongan serta mengutamakan kaedah automasi dan pendigitalan merentasi semua sektor industri.

Aktiviti yang dilaksanakan akan diperincikan lagi dan dibuat penambahbaikan bersama rakan kerjasama strategik yang diharap dapat memberi lonjakan dalam pertumbuhan produktiviti.

Produktiviti mencerminkan kemampuan untuk menghasilkan lebih banyak output dengan menggabungkan input yang lebih baik melalui inovasi proses, produk dan perkhidmatan serta model peniagaan.

"MPC berharap program-program yang dicadang dapat dilaksanakan secara cekap, pantas dan berkesan.

"MPC bersedia berkerjasama dengan mana-mana agensi dalam usaha merealisasikan sasaran matlamat cadangan Belanjawaan 2021," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Sebelum

Artikel Lain