suria

Kes bunuh Siti Nur Surya: Suspek disambung reman

Suspek bunuh Siti Nur Surya dibenarkan ditahan reman tujuh hari lagi bermula Selasa. foto Sinar Harian

SIASATAN berhubung kes bunuh Siti Nur Surya diteruskan apabila Mahkamah Majistret di Marang membenarkan reman suspek disambung tujuh hari lagi bermula Selasa sehingga Isnin depan.

Majistret, Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan tempoh lanjutan reman terhadap suspek berusia 19 tahun itu untuk melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, remaja itu yang mengenakan baju lokap berwarna ungu dan memakai tudung merah jambu kelihatan tenang semasa tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Marang di sini kira-kira pukul 10.25 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Sayu... ibu Siti Nur Surya masih tak tahu anak dibunuh, sering tercari-cari

ARTIKEL BERKAITAN: Keterangan mencurigakan, remaja perempuan suspek kes bunuh rakan sekolah... ditahan reman 7 hari

Sebelum ini, pada 3 November lalu, pelajar tingkatan enam itu dibenarkan direman tujuh hari yang berakhir Isnin untuk siasatan lanjut berhubung kejadian bunuh rakan sekolahnya Siti Nur Surya Ismail dalam kejadian di Kampung Lubok Batu, Telemong Hulu Terengganu.

Suspek ditahan selepas tampil ke Balai Polis Telemong Hulu Terengganu kira- kira pukul 7.30 pagi dengan ditemani ibunya kononnya untuk membantu siasatan, namun hasil keterangan diberi remaja terbabit mencurigakan lalu ditangkap untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, hasil pendedahan, suspek memaklumkan dia pergi ke rumah mangsa kira-kira jam 9 pagi dan bersembang di ruang tamu sebelum berlaku perselisihan faham sehingga tercetusnya pergelutan di antara mereka.

Mohd Adli berkata, hasil penahanan suspek, turut ditemui beberapa barangan milik mangsa dilaporkan hilang termasuk telefon bimbit, wang tunai dan kelengkapan mekap.

Pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek juga mendapati beberapa kesan kecederaan di bahagian badannya.

Media sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun ditemui mati dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di Kampung Lubok Batu, Telemong di Marang.

Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, mangsa, Siti Nur Surya Ismail ditemui tertiarap di ruang tamu rumah berkenaan oleh adiknya, Siti Nur Syuhada, 15, yang baru pulang dari sekolah.

Siti Nur Surya dibunuh kejam dengan beberapa kesan tikaman dipercayai senjata tajam di beberapa bahagian badan termasuk putus pergelangan tangan kiri.

Ketika kejadian, bapa mangsa tiada di rumah, manakala mangsa yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik sedang menjaga ibunya yang terlantar sakit akibat kanser otak. - Sinar Harian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain