suria

Nahas helikopter: Jenazah Mohd Irfan, Mohamed Sabri selamat dikebumikan

Ibu kepada Allahyarham Komander (B) Mohd Sabri Baharom, Intan Omar, menyiram pusara anaknya di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL Karak (Taman Selasih), Batu Caves. Foto: Sinar Harian

JENAZAH kedua-dua mangsa yang maut dalam nahas helikopter di Taman Melawati pada Ahad, selamat dikebumikan petang tadi.

Jenazah Allahyarham Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya kira-kira pukul 5.15 petang.

Memetik laporan Utusan Malaysia, jenazah telah dibawa ke Surau Al Ikhwan PUJ 2 Taman Puncak Jalil kira-kira pukul 2.35 petang untuk disolatkan selepas selesai bedah siasat yang dilakukan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Helikopter terhempas dekat Taman Melawati

Seramai kira-kira 100 ahli keluarga dan kenalan Allahyarham hadir menyempurnakan solat jenazah yang dilakukan sebanyak empat sesi bagi mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP).

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan lima cahaya mata berusia tiga hingga 17 tahun.

Sementara itu, jenazah Komander (B) Mohamed Sabri Baharom selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Batu Caves, selepas disolatkan di Masjid Khaled al Walid Jalan Padang Tembak, lapor Sinar Harian.

Terdahulu, jenazah Allahyarham selamat dibedah siasat sekitar pukul 11.30 pagi di HCTM.

Allahyarham Mohd Irfan dan Mohd Sabri maut selepas helikopter dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lagi helikopter di udara, sebelum terhempas di Taman Melawati.

Sebuah lagi helikopter dinaiki bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad, Datuk Ahmad Jauhari Yahya dan Tan Chai Elan sempat membuat pendaratan cemas dan mereka dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain