suria

Kes Sungai Gong tercemar, 5 termasuk 4 beradik didakwa

Lima individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang berhubung kes pembuangan bahan berbahaya ke dalam Sungai Gong, Rawang baru-baru ini. Foto Bernama

KES pencemaran Sungai Gong di Selangor diteruskan dengan pendakwaan terhadap lima individu.

Empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus sebuah syarikat membaiki jentera berat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di Kuala Lumpur, pada Selasa, berhubung kes pembuangan bahan berbahaya ke dalam Sungai Gong, Rawang, baru-baru ini.

Empat ahli lembaga pengarah yang juga adik-beradik iaitu Yip Kok Wai, 53; Yip Kok Mun, 58; Yip Kok Kuin, 70 dan Yip Kok Wong, 60; serta pengurus bengkel tersebut Ho Voon Leong, 59, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran bau sungai akibatkan gangguan bekalan air Selangor, 4 beradik direman 6 hari

ARTIKEL BERKAITAN: Air Selangor beri amaran, gangguan bekalan air mungkin berlarutan 4 hari

Bagi pertuduhan pertama, kesemua mereka didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya daripada bengkel Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd dilupuskan ke dalam alur air yang akan mengalir ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.

Kelima-lima lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di premis berkenaan di Kampung Sungai Dua, Rawang di Selangor antara 2 dan 3 Sept lepas mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, mereka dengan niat bersama dituduh telah melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya dari bengkel sama ke dalam alur air yang akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen, di tempat dan masa sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selepas mendengar hujahan pendakwaan dan peguam, mahkamah tidak membenarkan kelima-lima lelaki itu dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu sebutan kes pada 27 Okt.

Pada 3 Sept lepas, berlaku pencemaran minyak dari kilang berkenaan yang telah menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan kira-kira lima juta pengguna di 1,292 kawasan di tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain