suria

12 kes baharu Covid-19, satu kematian babit warga Filipina

Pesakit Covid-19 dirawat di hospital. Gambar hiasan/Foto Bernama

PENULARAN Covid-19 di negara ini merekodkan 12 kes baharu, menjadikan keseluruhan 8,976 kes setakat Jumaat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 207 kes, dan mereka telah diasingkan serta diberi rawatan.

Beliau memberitahu, daripada 12 kes baharu yang dilaporkan, lima kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara Malaysia.

Tambah Dr Noor Hisham, daripada tujuh kes penularan di dalam negara, lima kes dalam kalangan warganegara Malaysia dan dua kes adalah bukan warganegara Malaysia.

"Dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan Covid-19.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 125 kes," katanya dalam satu kenyataan, petang Jumaat.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 27 kes yang telah pulih Covid-19 pada Jumaat dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 8,644 kes.

"Sehingga kini, tiga kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Berikut adalah kes kematian ke-125 akibat Covid-19:

Kes kematian ke-125 (kes ke-8,974) merupakan lelaki bukan warganegara Malaysia (warganegara Filipina) berumur 64 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung.

Beliau mempunyai gejala demam, batuk dan sesak nafas pada 25 Julai 2020 namun tidak mendapatkan rawatan.

Pada 29 Julai 2020, beliau ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah di mana beliau telah disahkan meninggal dunia.

Ujian saringan menunjukkan beliau adalah positif Covid-19.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

kes, Covid-19, Dr Noor Hisham Abdullah,

Artikel Lain