suria

16 kes positif Covid-19 setakat Rabu, 2 kluster baharu dikesan KKM

Malaysia merekodkan 16 kes positif Covid-19 pada Rabu.

PENULARAN Covid-19 di Malaysia merekodkan 16 kes baharu, menjadikan keseluruhan 8,831 kes setakat Rabu.

Daripada 16 kes tersebut, lapan adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan empat warganegara Malaysia dan empat bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap atau dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja.

ARTIKEL BERKAITAN: Terkini 15 kes Covid-19,11 libatkan jangkitan tempatan

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, tiada kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan kes kematian keseluruhan kekal 123.

"Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 123 kes," ujarnya.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat empat kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan 8,566 jumlah kes pulih keseluruhan.

Sehingga kini, hanya lima (5) kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Satu (1) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, KKM turut memaklumkan pertambahan dua kluster baharu iaitu Kluster Hyde Park dan Kluster PUI Melbourne.

Berikut perincian dua kluster itu.

Kluster Hyde Park dikesan di sebuah kapal di Pelabuhan Klang, Selangor. Kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-8769) merupakan seorang kru kapal bukan warganegara (iaitu dari negara Rusia). Dia mempunyai sejarah perjalanan ke negara Mesir dan India. Kluster ini telah dikenalpasti susulan saringan Covid-19 yang telah dijalani oleh kru kapal tersebut sebelum pulang ke negara asal.

Sehingga 22 Julai 2020 jam 12 tengah hari, keseluruhannya 24 orang telah disaring, iaitu terdiri daripada empat kes positif dan 20 adalah negatif.

Kluster PUI Melbourne merupakan seorang pelajar warganegara Malaysia (iaitu kes ke-8749) yang telah pulang dari Australia pada 15 Julai 2020. Dia telah menaiki dua pesawat, iaitu dari Melbourne ke Kuala Lumpur dan kemudiannya dari Kuala Lumpur ke Kuching. Dari Pintu Masuk Umum Kuching, Sarawak, dia seterusnya dibawa ke pusat kuarantin di mana saringan didapati positif pada 17 Julai 2020. Dia tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

Susulan itu, siasatan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (active case detection) telah dijalankan. Satu lagi kes positif telah dikesan dalam kluster ini. Kes kedua ini telah menaiki pesawat yang sama dengan kes indeks iaitu pesawat yang telah bertolak dari Kuala Lumpur ke Kuching.

Sehingga 22 Julai 2020 jam 12 tengah hari, terdapat dua (2) kes positif dalam kluster ini. Seramai 21 orang kontak rapat yang terdiri daripada penumpang dari pesawat dan kenderaan awam yang berkaitan telah disaring dan masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih di dalam siasatan.

Artikel Lain