suria

SOP penjarakkan sosial sewaktu solat Jumaat masih kekal - Dr Zulkifli

Penjarakkan sosial di antara jemaah dalam solat Jumaat dikekalkan buat masa ini.

PROSEDUR Operasi Standard (SOP) bagi jemaah yang menunaikan solat Jumaat tetap dikekalkan sehingga kini iaitu mereka perlu mematuhi jarak sosial ketika berada di dalam masjid atau surau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata perkara itu dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan berikutan penularan wabak Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Surau, masjid zon hijau di WP dibenar solat Jumaat, jemaah mulai esok... tak lebih 30 orang - Zulkifli

"Untuk menjustifikasikan hal ini kami telah merujuk ulama-ulama sedunia temasuk Syaikhul Al-Azhar dan Mufti Mesir serta ulama-ulama di Arab Saudi," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Terdahulu Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad membangkitkan mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) had jumlah jemaah solat Jumaat.

Dalam pada itu tambah Zulkifli, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) telah bermesyuarat tujuh kali bagi membincangkan isu-isu berkaitan pelaksanaan ibadah agama Islam.

Beliau berkata ia sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara apabila jawatankuasa berkenaan duduk bermesyuarat dengan sebegitu banyak dalam tempoh yang singkat.

Zulkifli berkata hasil mesyuarat-mesyuarat itu, antaranya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan pihaknya dengan kerjasama MKN dan Kementerian Kesihatan.

Perkara itu antara lain meliputi mengenai kaedah pelaksanaan ibadah dalam bulan Ramadan; kedudukan saf solat; pelaksanaan ibadah korban; solat sunat Aidilfitri; solat musafir; perkahwinan orang Islam secara dalam talian; selain panduan hukum ujian saringan dan prosedur rawatan pesakit Covid-19 dalam bulan Ramadan.

"Mengambil kira keperluan umat Islam untuk memahami wabak Covid-19 dengan lebih mendalam dari sudut agama, saya sendiri telah mengambil inisiatif mengarang dua buah buku iaitu 'Inilah Doaku' dan 'Soal Jawab Fiqh Covid-19'.

"Kedua-dua buku ini boleh didapatkan secara percuma di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan juga dilaporkan lebih 50,000 pengunjung laman sesawang telah memuat turun buku-buku ini tidak termasuk yang disebarkan melalui medium-medium lain seperti WhatsApp dan Telegram Messenger," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli yang mahu tahu usaha-usaha yang dibuat oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam menyelesaikan isu-isu agama berkaitan pelaksanaan ibadah yang timbul sepanjang penularan wabak Covid-19. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, SOP, solat Jumaat

Artikel Berkaitan

Artikel Lain