suria

5 kes baharu Covid-19, termasuk seorang warga asing dibenar masuk Malaysia atas urusan kerja

Petugas kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19. Gambar hiasan/Foto Bernama

PERKEMBANGAN mengenai wabak Covid-19 di negara ini setakat Rabu merekodkan lima kes baharu, menjadikan keseluruhan 8,734 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 86 kes di mana pesakit telah diasingkan dan diberi rawatan di hospital.

Beliau berkata, daripada lima kes baharu, satu kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan bukan warganegara Malaysia yang dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja.

Tambah beliau, daripada empat kes penularan di dalam negara, satu kes adalah bukan warganegara iaitu kes saringan bergejala di Kuching, Sarawak, manakala tiga kes dalam kalangan warganegara Malaysia.

"Dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 122 kes," katanya dalam satu kenyataan, petang Rabu.

Setakat Rabu, Dr Noor Hisham berkata, dua kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 8,526 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Selain itu, lima kes positif Covid-19 kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

kes, kematian, Covid-19,

Artikel Lain