suria

Takwim sekolah diteliti, pembelajaran di rumah diteruskan - Radzi Jidin

Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimin Yahaya (dua, kiri) melihat guru melakukan demo sistem pembelajaran di dalam kelas yang mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketika melakukan lawatan kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Selasa. Foto Bernama

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sedang meneliti dan menganalisa takwim persekolahan sedia ada.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, sebarang perkembangan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

"Sekarang ini kita tahu sekolah akan dibuka pada 24 Jun, kita akan buat penelitian dan kajian. Sampai masanya jika perlu ada sebarang pengumuman baharu, saya akan maklumkan," katanya pada sidang media, petang Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: 24 Jun sekolah dibuka semula, hanya pelajar duduki SPM, STPM, SVM, STAM dan peperiksaan antarabangsa setara

Dalam sidang media yang sama, Mohd Radzi mengumumkan tarikh pembukaan semula sesi persekolahan pada 24 Jun depan.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa sesi persekolahan itu hanya membabitkan kira-kira 500,000 pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan pelajar peperiksaan antarabangsa yang setara.

Dalam pada itu, Mohd Radzi memberitahu bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat dan KPM akan mengumumkan sebarang perkembangan berkaitan perkara tersebut dari semasa ke semasa.

"Tentunya ibu bapa yang mempunyai anak-anak selain daripada kelas peperiksaan awam tertanya-tanya bilakah pula anak mereka akan ke sekolah?

"Buat masa ini, pembelajaran di rumah akan diteruskan. Memandangkan guru-guru telah kembali ke sekolah, pendekatan pengajaran dan pembelajaran boleh dipelbagaikan dengan akses kepada kemudahan-kemudahan yang ada di sekolah," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

takwim persekolahan, sekolah,

Artikel Lain