suria

RoS: Tun M bukan lagi Pengerusi Bersatu

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto: REUTERS/Lim Huey Teng

TUN Dr Mahathir Mohamad kini bukan lagi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), demikian menurut Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Menerusi satu surat bertarikh 5 Mei, RoS mengesahkan jawatan pengerusi Bersatu kini berhak disandang oleh Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga pemilihan parti akan datang.

Menurutnya lagi, peranan Muhyiddin selaku pemangku Pengerusi Bersatu selaras dengan Fasal 16.9 perlembagaan parti.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M terima semula jawatan sebagai Pengerusi Bersatu

"Fasal 16.9 menyatakan bahawa jika pengerusi berhenti atau diberhentikan, maka Presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan untuk memilih Pengerusi baru mengikut Fasal 13.3 dan ia mempunyai kuasa mengikut Fasal 16.2.

"Oleh itu berdasarkan dokumen yang dikemukakan iaitu surat perletakan jawatan pengerusi, RoS mengesahkan bahawa perletakan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu oleh YB Tun Dr Mahathir Mohamad adalah sah dan pemangkuan jawatan Pengerusi Bersatu oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, adalah juga sah dan masih berkuatkuasa selaras dengan peruntukan perlembagaan Bersatu sehingga diadakan pemilihan pengerusi baharu," katanya.

Untuk rekod, Dr Mahathir mengumumkan perletakan jawatan sebagai pengerusi parti dan perdana menteri pada 24 Februari lalu.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Bersatu ketika itu, Datuk Marzuki Yahya mengatakan perletakan jawatan Dr Mahathir ditolak oleh majlis tertinggi parti itu.

Terdahulu Ketua Penerangan Bersatu Dr Radzi Jidin mengatakan bahawa Dr Mahathir bukan lagi pengerusi parti apabila pemimpin itu mengundurkan diri pada 24 Februari.

Ini kerana menurutnya, tidak ada peruntukan dalam perlembagaan parti yang membenarkan majlis tertinggi parti untuk mengembalikan kedudukan pengerusi kepada penyandang yang telah mengundurkan diri. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Pengerusi, Bersatu, RoS

Artikel Lain