suria

Malaysia catat pertambahan satu kematian, 37 kes baharu Covid-19

Malaysia mencatatkan 37 kes baharu positif Covid-19 pada Selasa dan satu pertambahan kes kematian. Foto: Bernama

PENULARAN Covid-19 di negara ini merekodkan 37 kes baharu, menjadikan keseluruhan 6,978 kes setakat Selasa.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,218 kes.

ARTIKEL BERKAITAN: 47 kes baharu Covid-19, tiada kematian dilaporkan hari ini

"Daripada 37 kes baharu yang telah dilaporkan, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala 35 kes adalah penularan tempatan di mana 22 kes adalah bukan warganegara Malaysia," katanya menerusi sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Selasa petang.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan, terdapat pertambahan satu kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 114 kes.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan Covid-19.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 114 iaitu bersamaan 1.63 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," ujarnya

Kes kematian ke-114 iaitu kes 6,942 merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 77 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit barah hati.

"Beliau telah dirawat di sebuah pusat perubatan di pahang dan disahkan meninggal dunia pada 18 Mei 2020 jam 3.09 pagi," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sehingga hari ini, 31 kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 5,646 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Untuk rekod semasa, 11 kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan enam kes memerlukan bantuan pernafasan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, KKM

Artikel Lain