suria

Pesakit Covid-19 sembuh perlu kuarantin 14 hari ekstra di rumah, elak terima tetamu datang beraya - Dr Noor Hisham

Pesakit Covid-9 yang sembuh tidak digalakkan bertemu orang ramai dalam tempoh 14 hari keluar hospital.

PESAKIT Covid-19 yang telah sembuh jangkitan virus itu pastinya mahu menyambut Aidilfitri sebagaimana insan-insan lain di negara ini.

Namun, timbul persoalan sekiranya mereka dibenarkan menerima kunjungan tetamu, risau jika wujudnya risiko jangkitan baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: 47 kes baharu Covid-19, tiada kematian dilaporkan hari ini

Menjelaskan hal itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka hanya dibenarkan berjumpa pelawat setelah menjalani 14 hari kuarantin di rumah.

"Jadi pesakit yang telah sembuh contohnya, bila mereka dikesan negatif selepas dimasukkan ke hospital, kita akan discaj pesakit tersebut tetapi mereka perlu kuarantin untuk 14 hari di rumah selepas discaj.

"Dalam tempoh itu kalau boleh jangan ada pelawat jumpa pesakit tersebut. Lepas 14 hari di rumah, barulah mereka boleh jumpa pelawat tetapi kena patuh prosedur operasi standard (SOP)," ujarnya pada Isnin.

Kata Dr Noor Hisham, SOP itu termasuklah penjagaan jarak sosial, pemakaian topeng muka dan kerap mencuci tangan.

"SOP tu kena patuh, kalau positif pun akan masuk hospital dan tak akan discaj sehingga dia negatif.

"Apabila negatif, dia dibenarkan discaj tapi kuarantin lagi 14 hari. Amalkan kuarantin 14 hari di rumah sebelum boleh jumpa atau bergaul dengan ahli keluarga," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sekadar menasihati golongan ibu bapa agar tidak membawa kanak-kanak ke tempat awam bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19.

Namun kata Dr Noor Hisham, pihaknya dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mungkin memperkenalkan penguatkuasaan khas atas perbuatan itu jika kaedah nasihat yang dilakukan kini tidak dihiraukan mereka.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain