suria

Kluster balik kampung tidak akan wujud jika sambut Aidilfitri secara tertutup... “Lupakan hasrat balik kampung, menyusahkan diri sendiri” - Ismail Sabri

Kelihatan orang ramai mula membeli belah bagi menyambut Aidilfitri tidak lama lagi ketika tinjauan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) pada Ahad. fotoBERNAMA

KAJI selidik yang dijalankan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyaksikan sebanyak 74 peratus rakyat negara ini mahu menyambut Adilfitri kali ini secara tertutup bersama keluarga di dalam rumah masing-masing.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kaji selidik itu melibatkan seramai 215,712 responden.

"Daripada soalan A jawapan akan menutup pintu rumah kepada orang luar adalah sebanyak 74 peratus, manakala 20 peratus membenarkan berhari raya dengan saudara mara terdekat tapi bukan (keluarga) dalam rumah.

"Enam peratus pula ingin berhari raya bersama saudara mara jauh atau jiran tetangga," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Isnin petang.

Berdasarkan respons itu, Ismail Sabri meluahkan rasa lega kerana ramai tidak mahu membuka pintu rumah kepada orang luar.

"Kalau inilah trendnya saya tak rasa bimbang sangat. Itulah sebenarnya harapan kerajaan.

"Walaupun kita buka 20 orang untuk raya pertama tapi 74 peratus tidak benarkan orang lain datang beraya.

"Kalau semua buat macam ni InsyaAllah kita boleh putusan rantaian penularan Covid-19. Ramai bimbang akan wujud kluster baharu iaitu kluster balik kampung," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut memaklumkan masih ramai cuba melakukan rentas negeri untuk balik ke kampung pada Sabtu.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenakan 148 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara dan memeriksa 150,096 kenderaan.

"Semalam juga, sebanyak 1,175 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung telah diarah berpatah balik oleh polis," katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya melupakan hasrat tersebut kerana ia hanya menyusahkan diri sendiri.

"Saya harap tak perlu cuba rentas negeri untuk balik kampung. Sudah tentu anda akan diarahkan berpatah balik. Jadi ia hanya menyusahkan diri sendiri," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain