suria

PKPB: Halang syarikat beroperasi, kerajaan negeri berdepan tindakan undang-undang

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Foto: Reuters/Lim Huey Teng

KERAJAAN negeri yang ingkar untuk melaksanakan keputusan membuka semula ekonomi mungkin terdedah kepada tindakan undang-undang daripada pelbagai pihak khususnya kalangan pihak industri sekiranya menghalang mana-mana syarikat daripada memulakan operasi mulai 4 Mei 2020.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan memandang serius terhadap pendirian beberapa kerajaan negeri yang jelas bercanggah dengan dasar Kerajaan Persekutuan.

Bermulai hari ini, syarikat-syarikat daripada hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi semula susulan keputusan kerajaan yang dicapai pada 29 April, 2020.

ARTIKEL BERKAITAN: “Maaf... tak boleh balik kampung beraya” - PM umum PKPB... ketahui apa yang boleh dan tak boleh dilakukan mulai 4 Mei ini

ARTIKEL BERKAITAN: KKM cadang sektor ekonomi dibuka semula terlebih dahulu, sekolah kemudian

Mohamed Azmin menegaskan, keputusan untuk memulakan semula sektor-sektor ekonomi itu di bawah syarat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibuat dengan penuh teliti, berhati-hati dan bertanggungjawab serta didokong oleh data dan kajian oleh Kementerian Kewangan, MITI, Bank Negara Malaysia dan Khazanah Nasional Berhad.

Malah, hasil kajian terbabit telah dibentangkan untuk perbincangan dengan Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri pada Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 28 April, 2020.

Menurutnya, berdasarkan perbincangan dalam mesyuarat ini, kerajaan-kerajaan negeri turut menyedari sekiranya PKP sedia ada dilanjutkan sehingga Jun 2020, kesan kumulatif kehilangan pendapatan negara dianggarkan sebanyak RM146 billion atau kekurangan sebanyak 10.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang boleh menghapuskan kemajuan ekonomi yang telah dicapai sepanjang empat tahun lepas.

“Sehubungan itu, mesyuarat ini telah bersetuju untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi dalam tempoh PKPB bermula 4 Mei, 2020. Kerajaan Persekutuan akan menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang komprehensif dan ketat untuk digunapakai oleh semua pihak dan SOP ini disediakan kepada Kerajaan-Kerajaan Negeri.

“Bagi tujuan penjelasan, SOP ini telah pun diserahkan kepada semua Kerajaan Negeri pada 2 Mei 2020 iaitu sebelum tarikh penguatkuasaan PKPB, ” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Mohamed Azmin, kerajaan telah melaksanakan PKP selaras dengan peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dikawal dengan berkesan.

Pelaksanaan PKP itu turut melibatkan seluruh negara termasuk di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan, Sarawak dan Sabah manakala peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta 342 adalah undang-undang khusus bagi tujuan mencegah dan mengawal penularan Covid-19.

“Oleh itu, ia mengatasi peruntukan undang-undang bertulis lain berhubung dengan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit.

“Perlu ditegaskan bahawa keputusan Kerajaan Persekutuan adalah sah dari segi undang-undang. Akta 342 telah digubal dan dikuatkuasakan mulai 1 April, 1989 berikutan persetujuan Negeri-Negeri pada masa itu termasuklah Sabah dan Sarawak untuk mewujudkan satu undang-undang yang seragam bagi tujuan mencegah dan mengawal penyakit berjangkit di Malaysia dan berkuat kuasa di seluruh negara, ” katanya. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain