suria

KKM cadang sektor ekonomi dibuka semula terlebih dahulu, sekolah kemudian

Sekolah masih lagi ditutup untuk memastikan keselamatan pelajar daripada dijangkiti wabak Covid-19.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan agar sektor ekonomi dibuka terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenai pembukaan sektor dan sektor sosial.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM sedang meneliti garis panduan untuk pusat jagaan kanak-kanak (taska), aktiviti sukan dan sekolah sebelum membenarkan ia beroperasi semula.

“KKM mencadangkan kita mula dengan sektor ekonomi terlebih dahulu. Pembukaan sektor sosial dan sekolah akan ditangguhkan sedikit.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Kes positif baharu 94, tiada kematian direkodkan

“Biar sektor ekonomi mula dulu dan kita pantau situasi selama dua atau empat minggu, sebelum kita putuskan atau cadangkan untuk membenarkan sektor sosial dan sekolah dibuka semula, ” katanya pada sidang media harian di Putrajaya petang Rabu.

Mengenai aktiviti sukan seperti berjoging, Dr Noor Hisham berkata perkara itu juga sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) yang sedang dibincangkan.

"SOP itu akan dibuat mengikut garis panduan KKM seperti perlu ada penjarakkan sosial, tiada perhimpunan ramai dan sebagainya.

"Jadi inilah sebahagian daripada tahap secara berperingkat yang sedang kita lihat dengan lebih teliti dan akan diumumkan nanti," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut berkata isu pembukaan taska juga akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Setiap pagi kami ada mesyuarat bersama. Perkara ini akan kita bincangkan esok dalam mesyuarat bersama MKN.

“Perkara ini telah kita usulkan dan pertimbangkan. Apa yang penting kita patuh garis panduan KKM sama ada taska, restoran atau institusi.

“Kalau taska boleh patuh garis panduan kita tak ada masalah. Kita kena pastikan dahulu, ” katanya.

Artikel Lain