suria

PKP5: Tanggungjawab sosial setiap orang patuhi SOP, kata Dr Noor Hisham

Orang ramai diingatkan untuk mematuhi SOP ketika pelaksanaan PKPB. Foto: Bernama

RAKYAT Malaysia tetap tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sungguhpun kerajaan sudah mewartakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau PKP fasa lima (PKP5).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pematuhan terhadap SOP dalam PKP5 perlu diteruskan sebagaimana sewaktu PKP berfasa sebelum ini yang berjaya meratakan lengkuk kes positif Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Jumlah kes kembali 2 angka dengan 55 positif Covid-19 hari ini... tiada kematian direkod

"Jika dilihat kepada PKP 1,2, 3 dan 4 adalah untuk memastikan orang awam duduk di rumah. Sekarang mesej kita kepada orang awam ketika PKP5 adalah untuk ikut SOP kita... melainkan dia ada pematuhan sosial, displin sosial.

"Ini tanggungjawab sosial setiap orang untuk mengikut SOP iaitu kena pastikan sektor industri, restoran dan lain-lain mematuhinya," katanya dalam sidang media harian Covid-19 pada Isnin.

Tambah Dr Noor Hisham, pihak yang ingkar dan tidak mematuhi SOP akan dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Dalam masa yang sama ujar beliau, masih terlalu awal untuk menilai tahap kepatuhan orang ramai terhadap PKP5 yang baru dikuatkuasa mulai Isnin.

"Sekarang agak terlalu awal untuk menilai, tapi jika dilihat beberapa negara yang tak laksana PKP tapi apa yang mereka buat adalah mereka ada disiplin.

"Tapi kita ada SOP yang jelas, jadi kita gesa semua rakyat amalkan penjarakkan sosial, pakai topeng di tempat awam, dan cuci tangan dengan kerap.

"Pematuhan adalah penting untuk kita boleh putuskan rangkaian. Jika tak dipatuhi, ini meningkatkan risiko kepada kita untuk tingkatkan kebolehjangkitan. KKM akan memantau secara rapat untuk memastikan orang ramai patuhi SOP," katanya lagi.

Terdahulu, Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan peraturan-peraturan di bawah PKP4 sebelum ini terbatal dengan bermulanya PKP5.

Justeru itu, katanya semua pihak perlu mematuhi peraturan di bawah PKP5.

Pelaksanaan PKPB atau PKP5 yang bermula hari ini menyaksikan hampir kesemua sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.

PKPB juga membolehkan empat individu serumah dan sekeluarga dalam satu kenderaan untuk keluar bagi tujuan keperluan penting berbanding hanya dua orang dalam PKP4.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

PKPB, SOP, KKM, Dr Noor Hisham

Artikel Lain