suria

18 dihukum penjara, denda gara-gara hadir upacara pengebumian beramai-ramai ketika PKP

Kesemua didakwa bersama-sama berhimpun tanpa sebarang alasan munasabah atau dengan kebenaran pegawai polis dari Balai Daerah Klang.

GARA-gara mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menghadiri beramai-ramai upacara pengebumian seorang rakan yang meninggal dunia Khamis lepas, 18 lelaki dihukum penjara enam hari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen, Klang pada Selasa selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Hakim Tasnim Abu Bakar turut memerintahkan kesemua mereka yang berumur antara 19 hingga 53 tahun dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mereka ialah K Veeran, P Thanasegaran, J Arvinthan, C Sangkar, M Prabahkaran, J Johnpeter, A Kalaiselvan, S Surendren, N Rubes, M Selvaraju, M Paremesvaren, R Logaarajan, M Devan, A Prakash, S Rubendran, S Santhakumar, S Parthiban dan L Premkumar.

Dua remaja lelaki berumur 15 dan 17 tahun juga mengaku bersalah atas kesalahan sama dan mahkamah menetapkan 18 Jun untuk menjatuhkan hukuman terhadap mereka sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Afiq Zuber memohon mahkamah mengambil kira bahawa kes itu tular di media sosial dan menjadi perhatian umum.

“Hukuman setimpal perlu dijatuhkan oleh mahkamah bagi memberi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh malah kepada masyarakat bahawa perbuatan melanggar PKP tidak boleh dibuat main-main,” katanya.

Kesemua didakwa bersama-sama berhimpun tanpa sebarang alasan munasabah atau dengan kebenaran pegawai polis dari Balai Daerah Klang di sebuah tapak perkuburan di Jalan Keretapi Lama di sini pada 2 petang 16 April lepas.

Mereka didakwa di bawah Peraturan 6(1) Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan jangkitan) 2020 dan dihukum di bawah Peraturan 11 (1) Perintah sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Di mahkamah sama, empat lelaki termasuk dua remaja berumur 17 turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan bersama-sama bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain di dalam kawasan tempat jangkitan tanpa sebarang alasan yang sah di hadapan sebuah rumah di Taman Ku, Kapar di sini pada 1.20 tengah hari, hari yang sama (16 April).

Tasnim mengenakan denda RM1,000 atau penjara tiga bulan terhadap S Legesferan, 18, dan L Thervendran, 21, dan menetapkan 18 Jun untuk menjatuhkan hukuman ke atas dua remaja lelaki itu sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. - BERNAMA

penjara, denda, PKP, Covid-19

Artikel Lain