suria

“Berjaya atau tidak, kedua-dua tu penting untuk kita” - Dr Noor Hisham perjelas ketibaan 8 pakar perubatan dari China

Lapan pakar perunding perubatan dari China yang tiba di Malaysia pada Sabtu dalam usaha membantu menangani pandemik Covid-19, di negara ini.

KEHADIRAN lapan pakar perunding perubatan dari China ke Malaysia pada Sabtu, adalah bagi berkongsi pengalaman mengenai usaha mereka menangani wabak Covid-19. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia juga dapat berbincang dari segi rawatan dan penyelidikan berhubung pandemik itu.

"Bukan sahaja perkara yang positif, walaupun mungkin ada perkara-perkara yang mereka laksanakan tak berjaya, jadi kita nak belajar perkara-perkara yang tak berjaya supaya kita tak mengulangi perkara yang telah mereka laksanakan tetapi tak ada impak.

"Dalam perbincangan ini, banyak isu yang kita boleh bangkitkan, dari segi isu perawatan pesakit contoh di wad dan ICU, dan isu penyelidikan terhadap pengesanan, pengunaan teknik atau kaedah tertentu sama ada antigen atau antibodi," katanya pada sidang media, petang Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertanyaan pemberita mengenai ramai yang tidak berpuas hati dengan kehadiran pakar dari China berikutan negara republik itu sebelum ini dilaporkan menyembunyikan data dan tidak melaporkan situasi sebenar di negara itu berkaitan Covid-19. 

Dr Noor Hisham bagaimanapun menjelaskan bahawa kedatangan pakar dari China itu bukan untuk membantu Malaysia merawat pesakit Covid-19.

"Virus ini adalah virus yang baharu jadi masing-masing tak ada pengalaman. Tapi apa yang mereka ada adalah pengalaman sama ada berjaya atau tidak. Kedua-dua tu penting untuk kita.

"Kalau berjaya, mungkin kita akan teruskan usaha untuk menggunakan kaedah mereka tetapi kalau tidak berjaya kita belajar daripada cara mereka laksanakan tak berjaya, jangan ulangi kaedah-kaedah yang tidak berjaya," katanya.

Beliau menambah, perbincangan tersebut adalah penting kerana dapat menambahkan pengetahuan mengenai virus yang baharu. 

"Ramai masih tak pasti lagi cara virus ini merebak, cara virus ini menyebabkan kelemahan tubuh dan isu-isu yang banyak diperkatakan.

"Dengan perbincangan lebih lanjut dengan mereka yang ada pengalaman setelah dua bulan berhadapan virus itu di Hubei," katanya.

pakar, China, Hubei

Artikel Lain