suria

Terkini Malaysia catat 84 kes positif Covid-19, ragut satu lagi nyawa

Petugas kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19. Foto Bernama

PERKEMBANGAN terkini mengenai Covid-19 di Malaysia setakat Ahad menyaksikan pertambahan 84 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan virus itu sebanyak 5,389 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 2,103 kes.

Beliau memberitahu, terdapat satu kes kematian terbaharu akibat Covid-19 di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 43 pelajar Malaysia pulang dari Indonesia bentuk kluster baharu Covid-19

ARTIKEL BERKAITAN: “Berjaya atau tidak, kedua-dua tu penting untuk kita” - Dr Noor Hisham perjelas ketibaan 8 pakar perubatan dari China

“Justeru, ia menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 89 kes,” katanya pada sidang media, petang Ahad.

Mengulas lanjut mengenai kes Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 46 kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah itu, katanya, 26 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut beliau lagi, sebanyak 95 kes yang telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj pada Sabtu.

“Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj adalah sebanyak 3,197 kes,” kata Dr Noor Hisham.

Berikut adalah butiran kes kematian baharu yang dicatatkan pada Ahad:

Kes kematian ke-89 (kes ke-4,769) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 51 tahun. 

Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang. 

Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19, iaitu kes ke-2,726.

Beliau telah dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 13 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 18 April 2020 jam 6.47 petang.


kes, Covid-19, positif, kematian

Artikel Lain