suria

Masjid India dan kawasan sekitar lokasi ke-5 PKPD bermula tengah malam ini

Kawasan Masjid Indian dan sekitarkan melaksanakan PKPD sehingga 28 April.

KAWASAN Masjid India dan sekitarnya menjadi lokasi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 14 April sehingga 28 April ini.

Selain Masjid India, beberapa kawasan lain termasuk Jalan Munsyi Abdullah, Dang Wangi, Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang terlibat dalam pelaksanaan arahan terbaharu itu.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian, Selasa selepas mendapat nasihat menteri kesihatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua bangunan di Masjid India, KL diletakkan di bawah PKPD berkuatkuasa hari ini

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga menteri pertahanan memberitahu, atas nasihat menteri kesihatan juga diputuskan PKPD di Batu21 hingga 23, Kampung Sungai Lui, Hulu Langat tamat malam tadi (Isnin), kecuali bagi Maahad Tahfizan Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23, Kampung Paya Lebar, Sungai Lui, dimana pelaksanaan PKPD dilanjutkan sehingga 28 April 2020.

Anggota polis memantau kawasan PKPD di Jalan Masjid India.

"Bagaimanapun, pelaksanaan PKPD di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor dilanjutkan lagi sehingga 28 April2020, berikutan penambahan kes positif Covid-19 dalam kalangan penduduk.

"Kerajaan juga memutuskan PKPD ketiga melibatkan Menara City One di Jalan Munshi Abdullah, dan PKPD keempat di Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India turut dilanjutkan sehingga 28 April 2020 kerana peningkatan kes positif dalam kalangan penghuni," jelasnya.

Tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar.

Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penghuni diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 573 sampel individu di kawasan Masjid India telah diambil.

“Namun kita perlu menunggu selama 24 jam sebelum mendapatkan keputusan kerana kita baru saja memulakan pengesanan kes aktif di sana,” katanya.

Masjid India, PKPD, Ismail Sabri

Artikel Lain