suria

Kluster PUI Bali libatkan 20 individu termasuk 3 di ICU, seorang meninggal dunia

Sub-kluster Bali membabitkan seorang pesakit yang pulang dari Bali, Indonesia. Gambar hiasan/Foto Bernama

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat sub-kluster baharu bagi positif Covid-19 iaitu kluster Bali.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham berkata, KKM mengesah dua sub-kluster itu dikesan di Kuantan, Pahang susulan pengesanan, penyaringan, ujian ke atas kumpulan sasar yang berisiko tinggi.

Beliau berkata, kluster pesakit di bawah siasatan (PUI) Bali di Kuantan merupakan kluster yang melibatkan golongan pesakit dan beberapa petugas kesihatan dari sebuah pusat perubatan di Kuantan.

ARTIKEL BERKAITAN: Peserta tabligh korban terkini Covid-19, jumlah positif baharu 134 kes

ARTIKEL BERKAITAN: Total 25 kluster, sub-kluster positif Covid-19 dikesan - Dr Noor Hisham

"Sehingga 13 April 2020, seramai 20 orang yang terlibat dalam kluster ini," katanya pada sidang media, petang Isnin.

Beliau berkata, setakat ini 14 orang sedang dirawat di wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Pahang, di mana dua orang telah sembuh, tiga dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan seorang lagi telah meninggal dunia (kes ke-1575).

Tambahnya, daripada keseluruhan jumlah tersebut, terdapat tiga anggota kesihatan yang terlibat dalam kluster berkenaan.

"Kes indeks (iaitu kes ke-4,684) bagi kluster ini mempunyai sejarah perjalanan ke Bali, Indonesia. Beliau kemudiannya mempunyai kontak rapat dengan kes ke-1,575 (iaitu abang kepada kes indeks).

"Kes ke-1,575 kemudian telah menjangkiti 7 kes generasi kedua dan 11 kes generasi ketiga," kata Dr Noor Hisham.

Menurut beliau, terdapat 339 kontak rapat telah dikenal pasti dan ujian saringan Covid-19 telah dijalankan, termasuk 202 anggota kesihatan.

sub-kluster, bali, Kuantan, PUI

Artikel Lain