suria

Peserta tabligh korban terkini Covid-19, jumlah positif baharu 134 kes

Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia sedang melakukan kerja-kerja penyaringan ketika membuat pemeriksaan bagi mencegah penularan wabak Covid-19. Foto Bernama

PERKEMBANGAN terkini mengenai Covid-19 di Malaysia setakat Isnin menyaksikan pertambahan 134 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan virus itu sebanyak 4,817 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat satu kes kematian terbaharu akibat Covid-19 di negara ini.

“Ia menjadikan jumlah kematian sebanyak 77 kes,” katanya pada sidang media, petang Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Kluster PUI Bali libatkan 20 individu termasuk 3 di ICU, seorang meninggal dunia

Dr Noor Hisham berkata, kematian tersebut merupakan kes ke-2,797 melibatkan lelaki warga Malaysia berusia 62 tahun, yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling.

“Beliau mempunyai latar belakang penyakit jantung, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. 

“Beliau telah dirawat di Hospital Melaka pada 31 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 13 April 2020 jam 9.15 pagi,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kes Covid-19 setakat Isnin, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 66 kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah itu, katanya, 36 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut beliau lagi, sebanyak 168 kes yang telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj pada Isnin.

“Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj adalah sebanyak 2,276 kes.

“Setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 2,464 kes,” kata Dr Noor Hisham.

tabligh, kes, Covid-19, kematian

Artikel Lain