suria

Beri alasan nak jenguk ibu, wanita langgar arahan kuarantin selepas pulang dari Singapura dikompaun RM1,000

Wanita itu dan abangnya ditahan ketika sekatan jalan raya di Ulu Bendul.

GARA-GARA sikap degil enggan menjalani proses kuarantin selama 14 hari, seorang wanita berusia 26 tahun dikenakan kompaun RM1,000 kerana mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Supt. Amran Mohd Ghani berkata, abang kepada wanita berkenaan, yang menjemputnya di stesen bas turut dikenakan kompaun.

Menurut Amran, kedua-duanya ditahan dalam sebuah sekatan jalan raya di Ulu Bendul pada pukul 10.50 malam Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tampar, maki anggota polis ketika ‘roadblock’, lelaki 55 tahun direman empat hari

ARTIKEL BERKAITAN: Ingkar PKP: Heret ke mahkamah jika gagal bayar kompaun RM1,000 dalam masa 2 minggu - Ismail Sabri

"Wanita itu yang bekerja di Singapura, diperintahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari selepas pulang dari negara berkenaan.

"Namun dia enggan patuh kepada arahan itu dan membuat keputusan untuk pulang ke rumah keluarganya di Bahau," ujarnya.

Kata beliau, ketika anggota polis bertanya mengapa mereka mengingkari perintah PKP, wanita terbabit memberitahu bahawa dia mahu menjenguk ibunya.

Tindakan tersebut katanya adalah satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Individu yang dituduh di mahkamah boleh didenda sehingga RM1,000 atau dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

"Mereka perlu membayar kompaun di Jabatan Kesihatan Negeri dalam tempoh dua minggu, dan jika gagal akan dituduh di mahkamah," katanya.

Amran berkata, wanita itu kemudiannya dibawa ke pusat kuarantin Institut Aminuddin Baki di Nilai oleh pegawai Jabatan Kesihatan Kuala Pilah. - THE STAR

PKP, kuarantin, kompaun, ibu, Singapura

Artikel Lain