suria

Korban Covid-19 bertambah kepada 37 orang, 156 kes baharu

Petugas kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19. Gambar hiasan/Foto Bernama

PERKEMBANGAN terkini mengenai wabak Covid-19 di Malaysia setakat Isnin, menyaksikan jumlah terkini kematian sebanyak 37 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat pertambahan tiga kes kematian akibat Covid-19 termasuk yang dilaporkan pada Ahad malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Pukul 4 petang korban ke-35 direkod, staf KKM meninggal dunia akibat Covid-19

Beliau turut memberitahu, sebanyak 156 kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah 2,626 kes setakat ini.

"Kes kematian ke-36 (kes ke-1941) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 47 tahun. 

"Pesakit telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 23 Mac dan disahkan meninggal dunia pada pukul 8.10 pagi 30 Mac.

"Kes kematian ke-37 (kes ke-2471) merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 46 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit autoimun. 

"Pesakit dirawat di Hospital Miri, Sarawak dan disahkan meninggal dunia pada pukul 9.02 pagi," katanya pada sidang media, petang Isnin.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, seramai 94 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah tersebut, beliau menambah, sebanyak 62 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Terdapat 91 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada Isnin, iaitu jumlah discaj terbesar setakat ini. 

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 479 kes," kata Dr Noor Hisham.




kematian, Covid-19, kes

Artikel Lain