suria

Pukul 4 petang korban ke-35 direkod, staf KKM meninggal dunia akibat Covid-19

Mangsa disahkan positif Covid-19 pada 18 Mac lalu dan meninggal dunia 4 petang Ahad.

SELEPAS tujuh kematian direkodkan dalam masa 24 jam, korban wabak Covid-19 mencatatkan tambahan satu lagi pada Ahad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pelaporan terbaharu ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 35 orang setakat ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda 27 tahun antara 7 lagi korban Covid-19, terkini Malaysia catat 34 kematian

"Kes kematian ke-35 (kes ke-1952) merupakan seorang perempuan warganegara Malaysia berusia 57 tahun dan mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia," katanya menerusi laman Facebook miliknya, Ahad malam.

Dr Noor Hisham berkata, wanita berkenaan telah mula bergejala lima hari sebelum dimasukkan ke Hospital Putrajaya pada 17 Mac 2020, kemudiannya ke Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh.

"Hasil ujian pengesahan Covid-19 didapati positif pada 18 Mac 2020 dan kesihatannya merosot hari demi hari, sebelum disahkan meninggal dunia pada 29 Mac 2020 jam 4 petang," katanya.

Terdahulu, pada sidang media hariannya, Dr Noor Hisham memaklumkan tujuh kematian direkodkan dengan tambahan 150 kes baharu positif Covid-19 di seluruh negara hari ini.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Dr Adham Baba mengucapkan takziah kepada waris Allahyarham yang juga pembantu tadbir, Bahagian Sumber Manusia Kementerian Kesihatan Malaysia.











KKM, Covid-19, Dr Noor Hisham, Adham Baba

Artikel Lain