suria

Doktok klinik swasta didakwa halang tugas penjawat awam, langgar arahan PKP

SEORANG doktor perubatan di sebuah klinik swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Georgetown atas dua pertuduhan menghalang tugas penjawat awam dan melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19.

Dr Ong Hean Teik, 61, dari Tanjung Bungah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap, Isnin.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menghalang penjawat awam iaitu penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Muhd Alif Aizad Abd Latiff dalam menjalankan fungsi awamnya di Taman Bandaraya Pulau Pinang, Jalan Persiaran Kuari pada pukul 6 petang, 19 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Dr Ong dituduh telah keluar dari rumah di Tanjung Bungah ke Taman Bandaraya Pulau Pinang bukan bertujuan untuk melakukan mana-mana perkara yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, pada 4.45 petang, tarikh yang sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Peraturan 7(1) peraturan sama, yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta pasport diserah kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 9 Jun bagi sebutan semula kes. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan manakala tertuduh diwakili peguam Bala Mahesan.- Bernama

doktor, PKP, Covid-19

Artikel Lain