suria

Covid-19: Perhatian... Semua peserta ijtimak tabligh segera hubungi pejabat kesihatan daerah!

Kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia dengan memakai Peralatan Perlindungan Peribadi (Personal Protective Equipment) (PPE) bergerak memasuki zon merah untuk menghantar makanan kepada pesakit di bawah pengawasan (PUI) ketika tinjauan khas di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang menjadi pusat pemantauan. Foto Bernama

SEMUA peserta yang menghadiri ‘ijtimak tabligh’ di Masjid Seri Petaling di Kuala Lumpur, pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu, digesa menghubungi pejabat kesihatan daerah, demikian tegas Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata, mereka juga dinasihatkan supaya menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

Jelasnya, ia bertujuan untuk membendung penularan jangkitan wabak Covid-19 di negara ini.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan mereka yang telah menghadiri ‘ijtimak tabligh’ di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur dari 28 Februari hingga 1 Mac, segera menghubungi pejabat kesihatan daerah untuk membendung penularan jangkitan Covid-19.

“Sila hubungi talian hotline CPRC atau pejabat kesihatan daerah,” tulisnya menerusi akaun Twitternya pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya stres, sepatutnya doakan ayah cepat sembuh” – Anak bilal positif Covid-19 selepas sertai program tabligh kesal maklumat sulit bapa tersebar

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Tangguh semua perhimpunan libatkan orang ramai termasuk aktiviti keagamaan - KKM

Dilaporkan, seorang warga emas positif Covid-19 selepas menghadiri ‘ijtimak tabligh’ tersebut.

Nombor talian CPRC.

Warga tempatan berusia 60 itu merupakan kes ke-131 yang dikesan KKM dan mula mempunyai gejala demam, batuk serta selesema pada 4 Mac lalu.

Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh itu membabitkan anggaran 10,000 orang dari beberapa negara termasuk Malaysia dengan penyertaan melebihi 5,000 orang.

Maklumat itu adalah berdasarkan kes positif yang disahkan Covid-19 di Brunei melalui International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) Brunei yang memaklumkan kepada IHR FP Malaysia.

Pesakit pertama Covid-19 yang diuji positif di Brunei, pada Isnin lalu menghadiri perhimpunan di sebuah masjid di Sri Petaling dan terbang kembali dengan penerbangan AirAsia melalui Miri, Sarawak.

Susulan itu, KKM menggesa semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai ditangguhkan bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Nombor talian pejabat kesihatan daerah.

Dr Noor Hisham berkata, mereka yang ada simptom jangkitan itu dinasihatkan untuk tidak menghadiri program yang dihadiri ramai termasuk aktiviti keagamaan.

“Mereka yang ada simptom jangkitan dan dinasihatkan untuk menjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter bila berhadapan dengan individu lain,” katanya.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik pada Rabu.

Menurut Conona Tracker, sehingga pukul 11.30 pagi Khamis, kira-kira 126,064 kes positif Covid-19 dengan 4,630 kematian dilaporkan.

Artikel Lain