suria

Covid-19: Tangguh semua perhimpunan libatkan orang ramai termasuk aktiviti keagamaan - KKM

Orang ramai yang mengalami simptom Covid-19 dinasihatkan supaya menjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter bila berhadapan dengan individu lain.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menggesa semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai ditangguhkan bagi mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka yang ada simptom jangkitan itu dinasihatkan untuk tidak menghadiri program yang ramai orang termasuk aktiviti keagamaan.

"Mereka yang ada simptom jangkian dinasihatkan untuk menjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter bila berhadapan dengan individu lain," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Perhatian... Semua peserta ijtimak tabligh segera hubungi pejabat kesihatan daerah!

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya stres, sepatutnya doakan ayah cepat sembuh” – Anak bilal positif Covid-19 selepas sertai program tabligh kesal maklumat sulit bapa tersebar

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai  pandemik pada Rabu.

Menurut Conona Tracker, sehingga pukul 11.30 pagi Khamis, kira-kira 126,064 kes positif Covid-19 dengan 4,630 kematian dilaporkan.

KKM pada Rabu mendedahkan kira-kira 10,000 individu yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu dengan seorang warga Brunei disahkan positif virus itu.

Malah Dr Hisham menerusi Twitternya turut menggesa mereka yang menghadiri perhimpunan tersebut supayamenghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk membendung penularan wabak itu.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak melancong ke negara-negara yang mengalami wabak Covid-19.

"Sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan elakkan melawat kawasan-kawasan lain di Malaysia semasa cuti sekolah," katanya.

Pada Rabu, Dr Noor Hisham berkata semua Jabatan Kesihatan Negeri kini giat mengesan lebih 5,000 peserta Malaysia yang menyertai perhimpunan tabligh tersebut.

Katanya, siasatan itu dijalankan susulan laporan International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) Brunei, di mana kes yang disahkan positif Covid-19 di negara terbabit mempunyai sejarah perjalanan ke Malaysia.

Artikel Lain