Mukhriz bersuara tentang mesyuarat Bersatu - “Kita hanya bincang hal dalaman parti”

Mukhriz Mahathir. Foto Low Lay Phon/The Star

TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengatakan bahawa pertemuan dengan pucuk pimpinan parti itu hanya membincangkan mengenai hal dalaman parti meskipun terdapat cakap-cakap mengenai parti itu meninggalkan pakatan Pakatan Harapan (PH).

"Ia adalah pertemuan yang baik, perkara biasa," katanya secara ringkas kepada pemberita di lobi ibu pejabat parti di Petaling Jaya, Ahad.

Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mempengerusikan mesyuarat yang berlangsung lebih lima jam sejak pagi Ahad, beredar tanpa bercakap dengan pemberita.

Ditanya sekiranya terdapat perbincangan mengenai pakatan PH, Mukhriz memjawab: "Tidak... tidak, hanya hal parti," tegasnya.

Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ketua pemuda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengunci mulut ketika ditanya mengenai mesyuarat tersebut.

Parti-parti politik lain juga mengadakan pertemuan berasingan yang membangkitkan perbincangan mengenai pembentukan kerajaan baharu.

Pemimpin-pemimpin Umno akan mengadakan mesyuarat lewat petang Ahad di ibu pejabat parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Pemimpin PKR yang setia dengan timbalan presiden, Datuk Seri Azmin Ali turut dilihat di sebuah hotel di Petaling Jaya. 

Pada Jumaat, Mahathir berkata, Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan sebulat suara bersetuju peralihan kuasa Perdana Menteri ditentukan sepenuhnya oleh beliau sendiri.

Dr Mahathir berulang kali berkata, peralihan kuasa berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada November ini.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14, Pakatan bersetuju bahawa Dr Mahathir akan menjadi perdana menteri selama dua tahun sebelum melepaskannya kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - The Star



Mukhriz Mahathir, Bersatu, PKR, Azmin Ali

Artikel Lain

Memulakan langkah pemulihan ekonomi