suria

Rakaman “can I advise you something” dikenal pasti suara milik Najib, Rosmah

Mahdzir mengenal pasti suara Najib dan Rosmah dalam rakaman klip audio yang dimainkan di mahkamah pada Isnin.

BEKAS Menteri Pendidikan, Datuk Mahdzir Khalid mengenal pasti dua suara dalam rakaman tular yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Januari lalu.

Ketika memberi keterangan di mahkamah pada Isnin (10 Februari 2020), beliau memaklumkan suara itu adalah milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Petikan klip rakaman itu yang tular susulan kata-kata seorang wanita menyebut "can I advise you something" (boleh saya nasihatkan awak sesuatu) dimainkan pihak pendakwa kepada Mahdzir ketika disoal Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Sri Ram: Jika saya mainkan satu rakaman, apakah anda dapat mengenal pasti suara dia (Najib)?

Mahdzir: Rakaman? Ya.

Sri Ram: Bagaimana pula dengan tertuduh Rosmah, apakah anda biasa dengar suaranya?

Mahdzir: Biasa, cuma saya jarang bertemu dengannya.

Sri Ram: Boleh anda kenal pasti suaranya?

Mahdzir: Ya.

Pihak pendakwa kemudiannya memainkan rakaman klip audio melibatkan seorang lelaki dan wanita yang kemudiannya dikenal pasti oleh Mahdzir sebagai Najib dan Rosmah.

Terdahulu, pihak pembelaan membantah langkah untuk memainkan klip audio berkenaan.

Datuk Jagjit Singh berkata, rakaman itu tidak diserahkan sebagai sebahagian bahan bukti kepada mahkamah.

"Kami tidak ada transkrip dan tidak tahu apa yang akan terhasil daripadanya. Sekurang-kurangnya kami diberi transkrip rakaman itu dahulu," kata Jagjit.

Bagaimanapun, Sri Ram berkata, rakaman itu akan dimainkan untuk membolehkan saksi mengenal pasti suara di dalamnya.

Jagjit kemudian berhujah bahawa tindakan memainkan rakaman itu boleh menjejaskan tertuduh.

"Jika anda memainkannya sekarang, ia akan disiarkan pihak media," katanya.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan mencelah.

"Tetapi ini adalah perbicaraan oleh mahkamah, bukan media," katanya.

Hakim Mohamed Zaini kemudiannya membenarkan rakaman klip audio itu dimainkan.

Najib, Rosmah, Sri Ram, mahkamah

Artikel Lain