suria

Rakyat Malaysia akan dibawa pulang dari Wuhan, China dengan penerbangan khas esok

Datuk Seri Dr Wan Azizah berkata kerajaan akan membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, China dengan penerbangan khas pada Isnin, berikutan penularan wabak novel koronavirus 2019 di negara tersebut.

KERAJAAN akan membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, China dengan penerbangan khas pada Isnin, berikutan penularan wabak novel koronavirus 2019 di negara itu.

Mereka yang dibawa pulang itu terdiri daripada 108 rakyat Malaysia dan 24 bukan warganegara yang merupakan pasangan serta anak-anak mereka, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 132 orang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tertakluk kepada kelulusan kerajaan China, mereka yang akan dibawa pulang hanyalah yang didapati sihat untuk menaiki pesawat selepas menjalani tapisan kesihatan yang ditetapkan oleh Kerajaan China di Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia sedia bawa pulang rakyat Malaysia di Wuhan

ARTIKEL BERKAITAN: “Susu, mi segera cukup untuk 15 hari” - Mahasiswa dari Sarawak terkandas di Wuhan tenang berharap dapat pulang ke tanah air 

“Misi ini akan disertai lapan orang iaitu enam pegawai daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seorang pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan seorang pegawai Kementerian Luar,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata pesawat AirAsia dengan 12 krew akan digunakan bagi misi membawa pulang rakyat Malaysia dan keluarga mereka itu.

“AirAsia menetapkan tarikh penerbangan pada 3 Februari 2020 tertakluk kepada kelulusan kerajaan China. Penerbangan ini juga akan membawa bantuan keperluan seperti ‘mask’ (topeng hidung dan mulut), sarung tangan dan makanan, yang tertakluk kepada senarai yang dipersetujui oleh pihak Kerajaan China,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata beliau telah bertemu dengan semua pegawai yang akan menyertai misi itu termasuk krew penerbangan untuk mengucapkan terima kasih tidak terhingga kerajaan dan rakyat Malaysia, khususnya keluarga yang terlibat atas pengorbanan mereka membantu membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan.

“Saya juga menasihati mereka agar menjaga kebajikan dan kesihatan mereka dan semua yang dibawa pulang,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.

Dr Wan Azizah berkata beliau, bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah telah diberikan taklimat oleh Ketua Pengarah Nadma, Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman mengenai misi bantuan kemanusiaan membawa pulang rakyat Malaysia dari China itu.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah turut melawat ‘Air Disaster Center’ (ADU), tempat semua penumpang, pasukan misi dan krew akan menjalani tapisan kesihatan sekali lagi sebaik sahaja tiba ke KLIA kelak.

Katanya bagi mereka dikesan mempunyai simptom akan dibawa ke hospital manakala yang melepasi saringan terus ke Pusat Pemantauan.

“Saya mendapati persiapan dan kelengkapan perubatan telah disediakan sebaik mungkin untuk tujuan pemeriksaan kesihatan itu.

“Saya juga telah ke Pusat Pemantauan untuk meninjau bilik operasi, bilik penginapan dan kemudahan-kemudahan lain yang disediakan untuk semua 158 penumpang termasuk lapan pegawai misi dari Malaysia, 12 krew penerbangan dan enam pegawai daripada Kedutaan Malaysia di Beijing untuk menjalani pemantauan selama 14 hari,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata beliau berpuas hati dengan semua atur gerak dan persiapan yang dibuat untuk melaksanakan misi tersebut.

“Marilah kita rakyat Malaysia mendoakan misi ini berjalan lancar dan semua yang dibawa pulang dari Wuhan serta pasukan misi dan krew terlibat selamat,” katanya. - BERNAMA

Artikel Lain