“Saya ingatkan ada lumba perahu naga” - Genap 15 tahun, peristiwa tsunami mengganas terus terpahat dalam ingatan bapa dan ‘bayi ajaib’ - Semasa | mStar

“Saya ingatkan ada lumba perahu naga” - Genap 15 tahun, peristiwa tsunami mengganas terus terpahat dalam ingatan bapa dan ‘bayi ajaib’

A. Suppiah, 70, menunjukkan berita mengenai anaknya S. Thulasi, 15, "bayi ajaib tsunami" yang baharu 22 hari dilahirkan semasa kejadian tsunami 15 tahun lalu. Foto BERNAMA

HARI ini, 26 Disember genap 15 tahun kejadian tsunami melanda di beberapa negara di rantau ini.

Bagi mereka yang terlibat, pasti kejadian itu masih segar dalam ingatan dan merupakan peristiwa pahit yang sentiasa akan dikenang di mana ratusan ribu nyawa terkorban seperti di Acheh Indonesia, Thailand, India, Sri Lanka dan Malaysia sendiri.

Di Pulau Pinang, kisah tsunami akan terus segar terpahat dalam ingatan seorang peniaga iaitu A. Suppiah dan anaknya, S. Thulaasi yang turut digelar 'bayi ajaib tsunami' dan baharu berusia 22 hari dilahirkan semasa kejadian ombak besar itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Supermodel popular terbang ke Thai, cari 'hero' selamatkannya ketika tsunami 2004

ARTIKEL BERKAITAN: Tsunami 2004: Kehilangan Anak Sarat Mengandung Masih Dirasai

Dalam peristiwa itu, tsunami yang menghempas Pantai Miami, Batu Ferringhi pada 2004 telah menghanyutkan seorang bayu yang sedang nyenyak tidur di atas tilamnya ke tengah laut.

Namun dengan kuasa Tuhan, gelombang kedua ombak itu telah mendamparkan bayi itu ke pantai dan berada dalam keadaan selamat.

Mengimbau kembali detik itu, Suppiah, 70, berkata, kejadian itu adalah peristiwa yang tidak akan dilupakan sehingga ke akhir hayatnya.

Suppiah menceritakan mengenai kejadian bencana tsunami yang menghanyutkan anaknya S. Thulasi, 15.

"Dalam sekelip mata, keadaan sangat riuh dengan jeritan orang ramai yang ada di antara mereka kehilangan ahli keluarga. Saya masih ingat sebelum kejadian ada seorang pelancong bertanya tentang gelembung yang datan dari arah laut tetapi saya tidak tahu hendak jawab apa.

"Apa yang saya ingat bulan Disember adalah bulan pesta Pulau Pinang akan ada lumba perahu naga, tetapi Mat Salleh itu berkata pada saya ia bukan... sesuatu tidak kena katanya kepada saya, cuma saya nasihatkan agar jaga telefon dan kameranya.

"Selepas itu, dari jarak 50 meter, air laut tiba-tiba naik tinggi dan semua lari... Saya juga turut lari hendak menyelamatkan anak perempuan saya yang berusia 12 tahun dan Thulaasi namun tidak sempat kerana badan saya telah ditolak air dan hanya mampu berpaut pada tiang," katanya.

Suppiah berkata, selepas 40 minit kejadian tsunami itu berlaku, dia berusaha mencari bayinya namun gagal sehinggalah datang seorang lelaki Indonesia memberitahu bayinya selamat dan berada di atas sebuah tilam yang terdampar di pantai.

Kisah Thulaasi itu kemudiannya digelar sebagai 'bayi ajaib' oleh media dan menjadi perhatian dunia.

Menyingkap kembali peristiwa hitam itu, Suppiah berkata, pada awalnya beliau berasa marah dan kecewa dengan kejadian itu kerana kedai dan semua barangnya musah dipukul ombak kuat.

Namun selepas membaca akhbar mengenai ratusan ribu orang maut akibat kejadian itu sedangkan dirinya dan keluarga terselamat membuatkan dia berasa insaf.

S. Thulaasi yang digelar 'bayi ajaib' ketika mengadakan upacara sembahyang dan tolak bala pada 26 Disember tahun lalu.

"Biasalah kita manusia, mula-mula rasa marah dan panik bila tengok kedai, barang habis rosak, hancur tapi selepas baca kisah-kisah tsunami di negara lain yang mengorbankan banyak nyawa saya rasa sangat bersyukur dan terus memohon maaf kepada Tuhan" ceritanya.

Atas sebab itu kata Suppiah, setiap tahun pada 26 Disember, dia dan keluarga akan mengadakan upacara sembahyang bagi mengenang mangsa-mangsa yang maut dalam kejadian itu selain mengadakan upacara menolak bala.

Sementara itu, Thulaasi berkata, dia bersyukur kerana diselamatkan Tuhan dalam musibah itu malah anak kedua itu berkata dia mula mengetahui tentang kisah tsunami yang diceritakan oleh bapanya semasa berumur dalam lingkungan 4 dan 5 tahun.

"Sejak tahu tentang cerita saya yang terselamat, saya sentiasa ucapkan syukur pada Tuhan setiap kali sembahyang," katanya yang kini berusia 15 tahun.

Thulaasi berkata, bapanya juga sering menitipkan nasihat agar menjadi seorang yang akan membantu sesiapa sahaja dalam kesusahan.

Ombak gergasi tsunami tercetus berikutan gempa bumi berukuran 9.3 pada skala Richter di bawah dasar laut ke barat pulau Sumatera, Indonesia pada 26 Disember 2004, meragut lebih 200,000 mangsa di Indonesia, Thailand, India, Maldives dan Sri Lanka.

Ramai yang terbunuh adalah pelancong yang sedang menikmati cuti perayaan Krismas di kawasan seperti Phuket, Thailand manakala Acheh paling teruk terjejas dan mengalami paling banyak terkorban berikutan kedudukannya paling hampur dengan pusat gempa.

Di Malaysia, Pulau Pinang adalah antara negeri yang terjejas dan mencatatkan 52 daripada 68 kematian di seluruh negara. - BERNAMA

tsunami , bayi ajaib , Supppiah

Klik

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

Artikel Lain