suria

Kes Adib: 12 individu akan dipanggil semula jika ada petunjuk baharu

Adib maut pada 17 Disember lalu.

POLIS akan memanggil semula individu yang pernah ditahan berhubung siasatan kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, sekiranya mendapat petunjuk baharu. 

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman SAC Mior Faridalatrash Wahid berkata pihaknya menahan 12 individu sebelum ini untuk membantu siasatan dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

“Pihak polis akan teruskan siasatan dan jika ada keterangan lain yang menyokong (siasatan kes itu), polis akan panggil mereka semula,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kematian Adib akibat perbuatan jenayah - Mahkamah Koroner

ARTIKEL BERKAITAN: Ramadan pertama tanpa Adib, ibu bapanya paling terkesan... “Banyak perkara seperti rasa lain”

Ditanya kemungkinan 12 individu itu melarikan diri, beliau berkata tiada sebab untuk mereka melarikan diri. 

Mohamad Kassim Abdul Hamid menziarahi kubur anaknyadi Tanah Perkuburan Kariah Masjid As-Saadah Kampung Tebengau, Alor Setar Kedah. - FotoBERNAMA

“Saya tak nampak isu mereka ingin larikan diri kerana polis telah jalankan siasatan dan mendapati tiada keterangan jelas untuk kaitkan 12 individu ini dengan kejadian itu.

“Jadi tiada sebab untuk mereka melarikan diri ke luar negara dan saya minta semua pihak untuk tidak keluarkan sebarang kenyataan kerana siasatan sedang dijalankan,” katanya.

Pada Jumaat Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib, yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya tahun lepas, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Susulan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata PDRM akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menyiasat dan mengenal pasti pihak yang terbabit dalam kematian Muhammad Adib. - BERNAMA

Adib, bomba, rusuhan kuil

Artikel Lain