suria

Buat pertama kali, Syed Saddiq kongsi gambarnya berkain pelikat bersama arwah Adib – “Siasat dan cari penjenayah sampai ke lubang cacing”

Buat pertama kali Syed Saddiq (kanan) berkongsi gambarnya bersama Allahyarham Muhammad Adib. Foto instagram syedsaddiq

KEPUTUSAN inkues terhadap Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang terkorban selepas rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, tahun lalu melegakan banyak pihak terutama keluarganya yang menanti sekian lama.

Mahkamah Koroner di Shah Alam pada Jumaat memutuskan bahawa kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah, yang dilakukan oleh lebih dua orang individu yang tidak diketahui.

ARTIKEL BERKAITAN: Kematian Adib akibat perbuatan jenayah - Mahkamah Koroner

ARTIKEL BERKAITAN: Polis akan semak semula kes kematian Adib, kata KPN

Menerusi posting di laman sosial Instagram pada petang Jumaat, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkongsi gambarnya memakai jersi berwarna biru dan kain pelikat bersama Muhammad Adib.

“Ini kali pertama saya kongsikan gambar saya bersama arwah Adib.

“Gambar ini diambil semasa saya buat edaran makanan sahur pada tahun lepas bersama unit beruniform,” katanya.

Syed Saddiq turut menyifatkan Muhammad Adib merupakan seorang pemuda yang merendah diri, lemah lembut dan baik hati.

“Semasa saya lakukan lawatan mengejut ke balai bomba, arwah dan rakan-rakan bersiap sedia sekiranya ada apa-apa keperluan untuk bertugas.

Syed Saddiq (empat, kiri) bersama anggota bomba termasuk Muhammad Adib (dua, kiri). Foto Instagram @syedsaddiq

“Arwah benar-benar seorang pemuda yang merendah diri, lemah-lembut dan baik hati,” tambahnya.

Sementara itu, menjawab pertanyaan netizen di ruangan komen, Syed Saddiq memaklumkan bahawa gambar tersebut diambil pada bulan Ramadan tahun lepas sebelum beliau dilantik menjadi menteri.

Saya bercakap bukan sahaja atas kapasiti menteri atau Ketua Pemuda Harapan atau Ketua Armada Bersatu, tetapi sebagai anak muda yang menuntut keadilan bagi seorang anak muda yang dikhianati.

SYED SADDIQ

MENTERI BELIA DAN SUKAN

Mengenai keputusan inkues, sama seperti keluarga Muhammad Adib, Syed Saddiq turut mahu individu-individu bertanggungjawab segera dibawa ke muka pengadilan.

“Laporan inkues hari ini telah mendedahkan bahawa kematian Adib disebabkan jenayah sekumpulan individu tidak dikenali.

“Keadilan wajib dituntut. Siasat dan cari penjenayah sampai ke lubang cacing serta berikan hukuman setimpalnya.

“Saya bercakap bukan sahaja atas kapasiti menteri atau Ketua Pemuda Harapan atau Ketua Armada Bersatu, tetapi sebagai anak muda yang menuntut keadilan bagi seorang anak muda yang dikhianati,” katanya.

Koroner Rofiah Mohamad yang mendengar prosiding inkues selama 41 hari bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib berkata, mahkamah menerima keterangan saksi ke-29, Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Profesor Dr Shahrom Abd Wahid bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian.

Muhammad Adib yang merupakan anggota bomba Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya meninggal dunia pada 17 Disember lalu selepas 21 hari bertarung nyawa susulan insiden berkenaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain