suria

Proton lancar logo, slogan baharu 'Inspiring Connections'

Logo baharu Proton yang diperkenalkan pada Selasa. Foto SAM THAM/The Star

PENGELUAR kereta nasional, Proton Holdings Bhd pada Selasa melancarkan logo dan slogan baharu 'Inspiring Connections' dalam usaha menyuntik nafas baharu terhadap penjenamaan serta menggariskan wawasan untuk muncul sebagai satu jenama automotif global dan moden.

Sentuhan ciri logo baharu itu antara lainnya memaparkan reka bentuk kepala harimau yang diangkat lebih tinggi, sekali gus menjadi simbol Proton ibarat kepala anak panah yang dihalakan untuk memacu dan mencapai kejayaan di masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong berkata logo baharu itu akan digunakan oleh model unit komponen terurai X70 dan disusuli dengan pelancaran model lain.

Malah, katanya, kesemua cawangan syarikat itu akan memaparkan logo baharu itu secara berperingkat.

"Semua pusat kami akan ditukar dengan logo baharu itu secara berperingkat dan ini dijangka siap dalam tempoh dua tahun," katanya pada taklimat media di Subang Jaya, Selasa membabitkan pelan perniagaan syarikat itu selepas memulakan langkah transformasi lebih setahun lepas.

Li berkata penjenamaan baharu itu dipacu oleh tiga nilai teras - teknologi inovatif, kebolehpercayaan dan antarabangsa, seiring dengan cita-cita Proton untuk muncul sebagai satu jenama global sebenar dan antara tiga pengeluar automotif utama di ASEAN.

"Bagi mencapai cita-cita itu, Proton mengambil kira pandangan global untuk berjaya sebagai pengeluar automotif moden dan seiring dengan perkembangan aliran antarabangsa," katanya.

Menurutnya, Proton akan turut bekerjasama dengan rakan global, memanfaatkan keupayaan rantaian bekalan, menarik pekerja global dan menerapkan teknologi dunia untuk menjadi jenama automotif global yang kompetitif.

"Etos baharu kami merangkumi nilai teras syarikat ini iaitu sentiasa memanfaatkan teknologi inovatif, komitmen kami terhadap kebolehpercayaan serta mengguna pakai pandangan antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar berkata logo baharu itu menandakan lembaran baharu dalam perjalanan pengeluar automotif tersebut.

"Industri automotif moden, sebagaimana industri lainnya, perlu menerima pemikiran global.

"Proton akan terus mengeluarkan kereta terbaik yang memenuhi keperluan rakyat Malaysia, namun ini akan dilakukan atas dasar sebuah syarikat yang kompetitif di arena global," katanya.

Mengulas pengembangan syarikat itu di peringkat luar negara, Syed Faisal berkata pihaknya itu sedang meneliti pasaran lain secara mendalam sebelum membuat keputusan memasuki negara tersebut.

"Penelitian itu bukan sahaja dari segi penerimaan (sama ada) produk kita wajar dibeli tetapi juga sama ada dasar automotif negara itu turut menepati strategi kami.

"Aspek itu (pengembangan di peringkat luar negara) bukan hanya mengenai soal penjualan kereta, tetapi (bagaimana dapat) mewujudkan kehadiran dan kedudukan," katanya.

Dalam pada itu, merujuk kenderaan cekap tenaga (EEV), Li berkata penyertaan syarikat itu dalam ruang hibrid dan EEV akan bergantung kepada dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan.

"Kami akan memberi makluman berdasarkan polisiti tu," katanya. - BERNAMA

Proton, logo, slogan

Artikel Lain