suria

Menjelang Aidiladha, Plus saran orang ramai tambah nilai Touch 'n Go lebih awal... ini sebabnya!

Keadaan trafik dijangka meningkat pada sambutan Hari Raya Aidiladha Ahad ini.

DUA hari lagi umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidiladha dan ramai antara kita sudah merancang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing hujung minggu ini.

Walaupun ada yang beranggapan lalu lintas tidak akan sesak seperti mana sambutan Hari Raya Aidilfitri namun tak salah sekiranya anda merancang perjalanan ke kampung agar tidak tersekat dalam kesesakan.

Malah Plus Malaysia Berhad (Plus) turut menyeru orang ramai agar menambah nilai kad Touch 'n Go anda lebih awal.

Plus dalam satu kenyataan memberitahu pihaknya menjangkakan jumlah trafik yang menggunakan lebuh raya akan melonjak dengan mendadak berbanding hari biasa.

Sebanyak 20 peratus peningkatan kenderaan pada hari-hari puncak berbanding 1.7 juta kenderaan pada hari biasa iaitu pada 9 hingga 12 Ogos serta 17 dan 18 Ogos ini.

Keadaan dijangka sesak di plaza tol.

Atas dasar itu, perjalanan di plaza tol juga dijangka terjejas sekiranya masih terdapat pelanggan yang terkandas dan tidak dapat membuat transaksi tol apabila baki pada kad Touch 'n Go mereka tidak mencukupi.

Oleh itu, adalah lebih baik mengisi semula kad anda lebih awal bukan sahaja bagi keselesaan sendiri tetapi pengguna yang lain.

Dalam pada itu, Plus juga tidak menyediakan perkhidmatan tambah nilai di lorong keluar di plaza tol namun terdapat kira-kira 10,000 pusat menambah nilai di seluruh negara termasuk ATM, R&R, stesen minyak serta kiosk layan diri.

Plus dalam kenyataan sama turut memaklumkan bahawa pelanggan lebuh raya Plus tidak boleh menggunakan perkhidmatan e-Wallet PayDirect pada ketika ini dan dinasihatkan supaya menambah nilai kad Touch ‘n Go mereka untuk semua transaksi tol di lebuh raya kendaliannya.

Plus juga menasihatkan supaya pelanggan lebuh raya menggunakan aplikasi Plus yang boleh dimuat turun secara percuma untuk mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya. Maklumat trafik juga dihebahkan secara berterusan menerusi Twitter PLUSTrafik serta papan tanda elektronik di lebuh raya.

PLUS, Touch 'n Go, Aidiladha, tambah nilai

Artikel Lain