suria

Video seks: Seorang Adun mungkin terlibat, polis siasat

Rakaman video seks kini disiasat polis.

POLIS memperluaskan skop siasatan termasuk kemungkinan pembabitan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Selangor dalam kes penyebaran video seks yang didakwa melibatkan seorang menteri.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador bagaimanapun berkata, kes itu dianggap rumit kerana melibatkan ahli politik dan tidak mahu terburu-buru dalam mengambil tindakan. 

"Siasatan kami menyeluruh dari semua sudut termasuk siapa yang terbabit dalam konspirasi video itu. 

"Kami tidak mahu ada pihak yang teraniaya dan siasatan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) iaitu dikemukakan kepada peguam negara dan apabila selesai tindakan lanjut akan diambil," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, Selasa.

Abdul Hamid berkata, setakat ini polis akan menjalankan siasatan terhadap enam individu termasuk bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang ditahan reman semalam bagi membantu siasatan berhubung kes video intim itu.

Sementara itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, keputusan mendedahkan indentiti pelaku membabitkan video itu terletak kepada Jabatan Peguam Negara (AGC). 

“Polis menerima laporan itu menerusi CyberSecurity Malaysia (CSM) namun akan ada perbincangan dijalankan bersama pihak Jabatan Peguam Negara berhubung identiti pelaku yang dikaitkan.

“Pihak polis tidak bertanggungjawab untuk memastikan mahupun mendedahkan identiti pelaku itu dengan lebih lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Awam Kecurian Kenderaan PDRM-VTREC 2019 di Kuala Lumpur, Selasa.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa keenam-enam individu yang ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan kes itu mempunyai lokasi (markas) tertentu dalam merencana proses pembuatan dan penyebaran video terbabit, Huzir berkata: “Itu satu maklumat baharu dan polis akan menyiasat dakwaan itu," katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan terdapat klip video seks membabitkan dua lelaki, tular dalam media sosial dan pada 12 Jun, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam video itu.

Pada Isnin, Mahkamah Majistret membenarkan Haziq Abdullah serta lima individu lain ditahan reman enam hari bermula semalam, bagi membantu siasatan kes video lucah itu. - Bernama

Adun, video seks, Haziq Aziz

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain