suria

Tiada lagi baju lokap oren, gari tangan hanya perlu

Gambar hiasan.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menghentikan amalan membawa suspek ke mahkamah dalam baju lokap berwarna oren.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata keputusan itu sejajar dengan anggapan tidak bersalah serta Fasal 5 (1) Perlembagaan Persekutuan.

"SPRM juga tidak akan berkompromi sama sekali dalam pembanterasan rasuah, dalam berbuat demikian, kami pada setiap masa akan mendukung kedaulatan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Latheefa berkata gari tangan pula akan hanya digunakan jika perlu sekiranya terdapat risiko terlepas lari atau kelakuan agresif.

Bagaimanapun, katanya, penggunaan gari adalah tidak dibenarkan dalam ruang bilik mahkamah.

Pada 2017, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Dzulkifli Ahmad mempertahankan langkah untuk suspek berbaju lokap oren ketika dibawa ke mahkamah.

Antara yang membuat bantahan itu adalah peguam hak asasi, N Surendran yang menyifatkan langkah itu melanggar Perlembagaan Persekutuan dan peraturan penjara.

Antara suspek berprofil tinggi yang dibawa ke mahkamah dengan memakai baju oren adalah bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh.

baju lokap, SPRM, Latheefa Koya

Artikel Lain