suria

Video pegawai terima duit viral di media sosial

Seorang pegawai dirakam sedang menerima duit dalam bungkusan putih daripada sebuah kedai di Kelana Jaya.

SATU rakaman video menyerupai seorang pegawai penguat kuasa  menerima wang dari sebuah kedai di pusat membeli-belah di Kelana Jaya menjadi viral di media sosial.

Dalam klip berdurasi 15 saat,  juruwang kedai itu dilihat menyerahkan wang yang dibungkus sekeping kertas putih kepada pegawai yang berpakaian seragam.

"Ramai pemilik perniagaan telah mengeluh kepada saya mengenai perkara ini tetapi tidak ada bukti untuk membuktikannya sehingga sekarang," kata Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Sean Oon ketika ditemui di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin.

Oon berkata pegawai penguat kuasa yang wajahnya jelas kelihatan dalam video itu, kembali ke kedai dan meminta untuk bercakap dengan pemilik restoran selepas video itu menjadi viral.

Kejadian itu dipercayai berlaku seminggu sebelum perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Pemilik kedai diminta membayar sejumlah antara RM100 hingga RM300 untuk mengelakkan didenda oleh pegawai penguat kuasa ketika melakukan pemeriksaan rutin.

Pegawai penguat kuasa memeriksa kedai-kedai dengan bahan-bahan promosi yang tidak dibenarkan digantung di luar atau di dalam premis mereka.

"Para pegawai penguatkuasa melawat kedai-kedai sehari sebelum memaklumkan pemiliknya dan memberitahu mereka jika mereka mahu 'selamat' daripada didenda mereka perlu membayar jumlah wang," dakwa Wakil Rakyat Sungai Pelek, Ronnie Liu.

Mereka yang tidak membayar dikenakan denda sehingga RM1,000 dari majlis bandar raya, katanya.

"Ini adalah kes yang sangat serius dan ia bukan kali pertama berlaku di Selangor dan kami menerima aduan dari kawasan Pandan di kawasan Ampang," katanya.

Liu mengiringi pemilik kedai itu untuk membuat laporan kepada SPRM Selangor.

Menurut Liu, Datuk Bandar Petaling Jaya Datuk Mohd Sayuthi Bakar telah dimaklumkan tentang video dan pegawai yang terlibat.

Walau bagaimanapun, ketika dihubungi Majlis Bandaraya Petaling Jaya enggan memberi komen mengenai isu tersebut.

Terima Wang, Pegawai, MPPJ

Artikel Lain