Penduduk Orang Asli suku Batek Kuala Koh dijangki wabak demam campak - Semasa | mStar

Penduduk Orang Asli suku Batek Kuala Koh dijangki wabak demam campak

Orang Asli suku Batek dari Kampung Kuala Koh menerima rawatan di Hospital Gua Musang sebelum dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani Sabtu lalu bagi tujuan pemantauan tahap kesihatan mereka. Foto: Bernama

SERAMAI 37 daripada 112 Orang Asli suku Batek, Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan, yang dilaporkan mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, didapati dijangkiti wabak demam campak, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata 37 kes demam campak itu disahkan melalui ujian makmal manakala keputusan ujian makmal yang lain seperti tuberkulosis, meliodosis, leptospirosis dan corona virus adalah negatif

."Berdasarkan daripada keputusan makmal tersebut, penyakit yang berlaku dalam kalangan Orang Asli Kampung Kuala Koh ini ialah wabak (measles) demam campak, " katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Menteri Kesihatan Bersama Petugas Rombongan Perubatan Haji 1440H/2019, Isnin.

Beliau berkata faktor penyumbang kepada penularan jangkitan demam campak dalam komuniti Orang Asli itu adalah liputan imunisasi measles yang rendah iaitu hanya 61.5 peratus bagi suntikan dos pertama vaksin Measles-Mumps-Rubella (MMR) dan 30 peratus bagi suntikan dos kedua.

"Pasukan kesihatan sukar untuk memberi perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh kerana cara hidup suku kaum ini yang kerap berpindah-randah. Kekurangan zat makanan juga menyumbang kepada risiko jangkitan dan kejadian komplikasi, " katanya.

Dr Dzulkefly berkata daripada 112 kes Orang Asli itu, tiga kematian telah direkodkan oleh Kementerian Kesihatan, dengan mangsa terbaharu merupakan kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun 6 bulan kerana komplikasi demam campak.

Daripada jumlah 112 itu juga, katanya sebanyak 51 kes masih dirawat di hospital iaitu 48 kes di wad biasa dan tiga kes di Unit Rawatan Rapi.

Sebanyak 19 kes dengan gejala ringan pula berada di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli di Gua Musang dan 39 kes telah dibenarkan pulang, katanya.

Menurut Dr Dzulkefly, sebanyak 170 daripada 185 penduduk Kampung Kuala Koh telah ditemui dan diperiksa status kesihatan mereka.

Beliau juga berkata pasukan polis yang dibantu pasukan perubatan forensik Kementerian Kesihatan telah berjaya mengeluarkan kesemua 12 mayat dari Kuala Koh sehingga 6.40 petang Sab dan dibawa ke Hospital Gua Musang untuk mengenal pasti punca kematian.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata sebanyak 260 anggota kesihatan Kementerian Kesihatan yang terdiri daripada pelbagai kategori termasuk doktor pakar akan dihantar bertugas sebagai Rombongan Petugas Perubatan Haji pada tahun ini dan mereka dijangka bertolak ke tanah suci pada 27 Jun ini.- Bernama

Orang Asli , Suku Bateq , Kuala Koh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

Ibu Issey meninggal dunia