Pasangan Kelantan-Sudan beraya di Madinah, tapi si isteri terkilan ramai ada foto raya OOTD... “Tergantung je la baju tu” - Semasa | mStar

Pasangan Kelantan-Sudan beraya di Madinah, tapi si isteri terkilan ramai ada foto raya OOTD... “Tergantung je la baju tu”

Nor Arlinda Md Anizam dan Sheikheldein Bushra Hussien memilih untuk beraya di Madinah pada tahun ini.

MASIH ingatkah anda mengenai jururawat kelahiran Kelantan yang mendirikan rumah tangga bersama jejaka dari Sudan dan sama-sama bertugas di Madinah?

Pada lebaran tahun ini, pasangan Nor Arlinda Md Anizam, 34 dan Sheikheldein Bushra Hussien, 38, meraikan hari raya Aidilfitri pertama sebagai suami isteri.

Jika ada yang tertanya-tanya, adakah mereka akan pulang beraya ke negeri Che Siti Wan Kembang atau pulang ke kampung halaman suami nun di benua Afrika, sebenarnya mereka memilih untuk menyambut hari kemenangan itu di Madinah sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dah beritahu mak, jangan terkejut tengok dia” - Jururawat pilih suami Sudan, yang kutuk biar 'kutip dosa kering'

ARTIKEL BERKAITAN: Hati terpaut saat dipujuk ketika menangis, jejaka Guinea pilihan anak Kedah ini bukan biasa-biasa!

Sewaktu dihubungi mStar, Arlinda mengakui teruja untuk beraya bersama buah hatinya itu.

Yang paling dinanti-nantikan tentulah dia ingin melihat suaminya segak mengenakan busana tradisional kebangsaan, baju Melayu.

Namun kata Arlinda, kekangan masa dan tugas menyebabkan hasrat untuk melihat suaminya menyarung persalinan itu tidak kesampaian.

Baju Melayu suaminya tidak sempat digayakan pada  hari raya pertama.

"Terkilan juga sebab tengok orang lain semua ada foto raya OOTD (outfit of the day) dengan pasangan masing-masing.

"Tergantung je la baju tu. Hari raya pertama pula, balik solat raya suami demam panas. Raya kedua kami dah mula bertugas balik.

"Semalam kami berdua pergi rumah terbuka raya pun berpakaian seragam kerja sahaja," ujar Arlinda kepada mStar.

Arlinda merupakan jururawat manakala suaminya bertugas sebagai doktor di National Guard Hopsital, Madinah.

Pada pagi Syawal pertama, Arlinda turut menyediakan nasi ayam buat suaminya.

Malah, dia juga bersyukur apabila suaminya menyukai air tangan yang dihasilkannya.

Jadi tahun ni raya kat Madinah. Perasaan rindu nak raya dengan keluarga tentu ada, tapi dah faham. Adat kerja jauh macam ni la.

NOR ARLINDA MD ANIZAM

Bercerita lanjut mengenai baju raya dia dan suaminya, Arlinda membeli sepasang baju Melayu ketika mereka berada di Malaysia, baru-baru ini.

“Susah nak yakinkan dia pakai baju Melayu. Lepas tunjuk gambar ayah saya berbaju Melayu baru dia setuju untuk cuba.

“Tapi tidaklah satu set dengan samping. Dia biasanya tradisi pakai jubah, mereka panggil thoub.

“Saya beli baju Melayu kelabu untuk dia, sedondon dengan jubah dan baju kurung saya.

“Kat Saudi memang wajib berjubah, baju kurung pula untuk saya hadiri rumah terbuka rakan-rakan Malaysia,” ujar Arlinda.

Bercerita mengenai pemilihan Madinah sebagai lokasi raya tahun ini, Arlinda berkata dia sudah beraya di Malaysia pada tahun lalu.

Jadi, tahun ini dia perlu berada di sana bagi memberi peluang kepada rakan-rakan yang lain untuk balik bercuti ke tanah air.

Pasangan ini disatukan pada April lalu.

“Sebab tak dapat cuti, kami biasanya cuti dua kali setahun. Setiap kali cuti dalam 35 hingga 40 hari.

“Jadi tahun ni raya kat Madinah. Perasaan rindu nak raya dengan keluarga tentu ada, tapi dah faham. Adat kerja jauh macam ni la.

“Yang paling dinanti-nantikan, nak buat panggilan video dengan keluarga. Walau tak dapat beraya, dapat tengok dan berborak pun dah gembira,” katanya lagi.

Bercerita mengenai suaminya yang dinikahi pada 20 April lalu, Arlinda mengakui lelaki itu seorang yang mudah dalam pelbagai hal, khususnya dalam bab makanan.

Tambahnya lagi, suaminya juga menggemari hidangan nasi kukus, sambal dan murtabak.

Kisah pasangan doktor dan jururawat itu menarik perhatian ramai sewaktu disiarkan menerusi mStar pada 9 Mei lalu.

Perkahwinan mereka berlangsung meriah di Luxury Garden, Kota Bharu, Kelantan dan turut dihadiri 10 ahli keluarga lelaki itu dari Sudan.

Sudan , kahwin campur , jururawat

Artikel Lain