suria

Jenazah ketua jururawat selamat dikebumikan di kampung halaman

Mohd Udzair Khalid, 40, suami kepada Siti Kharina ditenangkan ahli keluarganya di Kampung Tengah Seri Menanti pada Khamis. fotoBERNAMA

JENAZAH Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Tengah, Seri Menanti dekat Kuala Pilah, pada 9 malam Khamis.

Sebelum itu, jenazah Siti Kharina, 40, tiba di kampung halamannya di Kampung Tengah, pada 6.15 petang Khamis.

Jenazah kemudiannya dibawa ke dalam rumah untuk tatapan terakhir anggota keluarga, saudara-mara, sahabat-handai dan jiran tetangga.

Anggota Parlimen Kuala Pilah yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith antara 100 hadirin yang datang menziarah jenazah Allahyarham.

Misteri kehilangan Siti Kharina yang dilaporkan hilang pada 8 Mei lalu terjawab selepas mayatnya ditemui di unit kondominium yang disewanya di Cyberjaya pada Rabu.

Mayat wanita itu ditemui pemilik rumah berkenaan pada Rabu dengan kesan kelar di dada, leher dan kepala.

Mangsa, dilapor hilang 8 Mei lalu selepas kali terakhir dilihat di tempat letak kereta Hospital Serdang pada 4 petang.

Siti Kharina meninggalkan suami, tiga anak perempuan iaitu seorang berusia 14 tahun dan kembar berusia 10 tahun.

Sementara itu, ibu saudara Allahyarham, Datin Fauziah Mohamed, 54, berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan arwah pada petang Ahad lepas iaitu sehari sebelum puasa di rumah keluarga di Kampung Tengah.

Katanya beliau bersama keluarga Siti Kharina pulang ke kampung bagi menyambut Ramadan selain berbincang mengenai persiapan raya di kampung.

"Bagaimanapun, tidak nampak sebarang perubahan pada Kak Long (Siti Kharina) ketika itu dan kami berbual seperti biasa. Kak Long yang saya kenali seorang anak saudara yang baik dan peramah. Kehilangan Kak Long ini benar-benar mengejutkan keluarga kami lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini.

"Tidak sangka ada orang yang tergamak melakukan jenayah sedemikian dan kami berharap pihak polis dapat menangkap penjenayah itu dan dibawa ke muka pengadilan," katanya ketika ditemui dan berkata beliau mengetahui berita kehilangan arwah melalui WhatsApp anaknya dan paling mengejutkan Allahyarham berjaya ditemui namun telah meninggal dunia.

Sepupu Siti Kharina yang hanya mahu dikenali sebagai Zura, 49, berkata beliau turut terkejut menerima berita kejadian itu.

"Kami sudah bertahun tidak berjumpa dan kejadian ini benar-benar memberi kesan kepada kami semua, tambahan pula pada bulan Ramadan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain