suria

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal akan ditayang di China

Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal terbitan Les Copaque Production Sdn Bhd bakal ditayangkan di pawagam seluruh China, dijangka Jun atau Julai ini.

FILEM terbaharu Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal terbitan Les Copaque Production Sdn Bhd bakal ditayangkan di pawagam seluruh China, dijangka Jun atau Julai ini.

Cultural Investment Holding Co Ltd (China) telah dilantik sebagai rakan strategik Les Copaque Production dalam satu majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Pengarah Urusan Les Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Mohd Radzi berkata pihaknya telah merancang untuk menembusi pasaran China sejak tahun 2016.

Gobind (tengah, berdiri) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian di antara Les Copaque Production dengan Cultural Investment Holding Co dari China pada Jumaat. Foto: Bernama

"Saya berharap filem ini akan 'meletup' di China dan saya juga diberitahu ada seorang penyanyi Malaysia yang terkenal sana akan menyanyikan lagu Keris."Siri Upin & Ipin juga akan dibawa masuk ke China dan diikuti dengan rundingan untuk bina taman tema Upin & Ipin di sana," katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo yang hadir menyaksikan upacara menandatangani perjanjian itu turut memberitahu filem animasi ini telah membuktikan potensi produk kreatif tempatan mampu menjadi komoditi eksport ke peringkat antarabangsa.

"Bakat anak-anak muda perlu terus digilap oleh agensi-agensi seperti Finas dan MDEC melalui program inkubasi bakat dan pembangunan kemahiran.

"Justeru, saya ingin menyeru para penerbit untuk terus meneroka variasi cerita berinspirasikan budaya tempatan yang mempunyai nilai universal kerana melihatkan kejayaan filem Upin & Ipin ini yang berjaya menjual imej Malaysia di persada global," ujarnya.

Filem ini berjaya meraih kutipan RM25 juta hanya selepas tiga minggu tayangan sekali gus mencatat rekod kutipan tertinggi  sepanjang zaman bagi kategori filem animasi di Malaysia.

Selain itu, Cultural Investment Holdings Co. Ltd. merupakan syarikat ternama yang beroperasi di Beijing yang melibatkan produk budaya dan kesenian.

Artikel Berikut

Artikel Lain