Pakar forensik sahkan kecederaan Adib bukan akibat dipukul - Semasa | mStar

Pakar forensik sahkan kecederaan Adib bukan akibat dipukul

SEORANG saksi pakar forensik dari Hospital Kuala Lumpur pada Jumaat mengesahkan corak kecederaan pada badan arwah Muhammad Adib Mohd Kassim tidak bersepadanan akibat dipukul, ditendang atau ditumbuk.

Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang bertugas di Jabatan Perubatan Forensik hospital itu memberitahu  Mahkamah Koroner di Shah Alam bahawa bedah siasat terhadap mangsa mendapati kecederaan pada bahagian toraks bukanlah kecederaan yang sering atau kebiasaannya dilihat akibat dipukul dengan objek tumpul atau ditendang atau ditumbuk.

"Pada pandangan saya, corak kecederaan yang dialami si mati adalah tidak berpadanan akibat dipukul.  Selain itu, tiada apa-apa kecederaan pada bahagian muka, kepala, abdomen, anggota atas dan bawah yang berpadanan dengan cedera akibat dipukul atau mempertahankan diri dijumpai pada jasad si mati.

"Berdasarkan corak kecederaan luaran dan dalaman yang dikesan pada Adib, saya dan pasukan telah dimohon hadir untuk membantu rekonstruksi kejadian yang telah dilakukan pihak polis pada 22 Disember tahun lepas," katanya yang menjalankan bedah siasat itu pada 18 Disember 2018.

Saksi ke-24 itu berkata, beliau diberitahu oleh pegawai penyiasat polis bahawa saksi kejadian, pemandu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), Shahril Othman yang berada bersama arwah dalam van, memberitahu, arwah yang merupakan penumpang hadapan van itu, didapati tiada dalam kenderaan itu selepas jentera FRT bomba tiba-tiba mengundur secara mengejut sehingga menyebabkan hentaman di hadapan van ketika rusuhan.

"Berdasarkan maklumat itu, saya berpendapat kemungkinan yang paling boleh berlaku pada hari kejadian rusuhan itu adalah jika benar Adib berada di luar van EMRS tersebut, Adib berada dalam keadaan berdiri dan menghadap ke arah belakang," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah selaku pegawai pengendali inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba itu.

"Bahagian kiri arwah telah menerima impak hentaman daripada hujung belakang pintu sisi kiri hadapan van EMRS yang terbuka dan kenderaan sedang mengundur sehingga mengakibatkan kepatahan pada tulang rusuk kiri satu hingga tujuh....bahagian hujung belakang pintu hadapan kiri van EMRS yang keras, nipis serta menegak ini berpadanan untuk menyebabkan kepatahan yang seperti garis lurus menegak pada tulang rusuk kiri satu hingga tujuh," jelasnya lagi.

Pada pandangan saya, impak daripada dada kanan si mati adalah kuat disebabkan kombinasi tolakan pintu van EMRS terhadap belakangnya dan juga momentum badan si mati yang masih ada apabila keluar daripada EMRS.

Dr AHMAD HAFIZAM

Pakar Forensik/Saksi

Tambah beliau, terdapat luka calar melintang pada bahagian belakang kiri arwah mungkin disebabkan daripada kesan geseran pada struktur plate kunci pintu sisi kiri hadapan van EMRS.

Menerangkan lebih lanjut, katanya, impak daripada hujung belakang pintu hadapan kiri van EMRS  juga mengakibatkan arwah terdorong ke hadapan dan jatuh dengan keadaan anggota atas terangkat ke hadapan dan bahagian rusuk kanan terhentak dan bergesel dengan kuat pada permukaan yang keras, tertonjol seperti bahu jalan atau pun apa-apa struktur yang keras yang ada di sekitar tempat itu seterusnya mengakibatkan kecederaan pada toraks kanan mangsa.

"Terdapat, calar pada belakang lengan bawah kanan, calar pada belakang siku kiri dan calar pada lutut kanan berpadanan cedera geseran pada permukaan keras akibat jatuh.

"Pada pandangan saya, impak daripada dada kanan si mati adalah kuat disebabkan kombinasi tolakan pintu van EMRS terhadap belakangnya dan juga momentum badan si mati yang masih ada apabila keluar daripada EMRS," katanya.

Dr Ahmad Hafizam yang pernah mengendalikan bedah siasat kes berprofil tinggi, kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais bagaimanapun berkata, berdasarkan laporan bedah siasat, beliau tidak dapat menentukan sama ada arwah keluar daripada van EMRS secara sendiri atau ditarik orang lain.

Terdahulu, saksi itu memberitahu tujuh tulang rusuk kiri mangsa patah dan dalam susunan garis lurus yang menegak.

"Bagaimanapun, bukti berdasarkan corak cedera luaran dan kepatahan tulang-tulang rusuk yang diperiksa buat masa ini saya tak dapat dengan secara selamat mengetepikan dakwaan bahawa arwah mengalami cedera itu akibat terhimpit antara dua permukaan yang keras hingga bukti-bukti sokongan lain yang kredible diperoleh," katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota bomba EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, meninggal dunia selepas cedera parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov lepas.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung Selasa ini. - Bernama


Muhammad Adib

Artikel Lain