suria

Gempa Lombok: 14 rakyat Malaysia terselamat pulang malam ini

Lokasi air terjun Tiu Kelep, Bayan di utara Lombok yang terjejas akibat gempa bumi yang melanda petang Ahad.

SERAMAI 14 warga Malaysia yang berada di Lombok semasa kejadian gempa bumi pada Ahad, dijadual pulang ke Kuala Lumpur malam ini.

Menurut Atase Polis Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Abu Bakar Yaacob, semua mereka yang terselamat itu dijadual berlepas dari Lombok ke Kuala Lumpur menggunakan pesawat Air Asia AK 307 pada 8.35 malam.

"Mereka dijadual tiba 11.35 malam di Kuala Lumpur," kata Abu Bakar, yang kini berada di Lombok, bagi memberikan bantuan konsular kepada warga Malaysia yang berada di pulau itu.

Mengenai dua rakyat Malaysia yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di kawasan Air Terjun Tiu Kelep, Kabupaten Lombok Utara susulan gempa bumi itu, Abu Bakar berkata pihaknya masih menguruskan proses untuk membawa pulang kedua-dua jenazah ke Malaysia.

Dua yang terbunuh itu ialah Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily Datin Tai Siew Kim dan seorang lagi wanita, dikenali sebagai Lim Sai Wah.

"Kalau tak dapat dibawa balik hari ini, jenazah akan di bawa balik esok, kos membawa balik akan ditanggung ejen pelancong terbabit serta pihak berkuasa Indonesia dan syarikat penerbangan Garuda," katanya.

Abu Bakar berkata ketika ini terdapat sembilan rakyat Malaysia yang mengalami kecederaan dirawat di klinik dan hospital di Lombok.

Dua yang terkorban itu adalah dari sekumpulan 28 pelancong Malaysia yang tiba di Lombok pada 14 Mac lepas, dengan 22 daripadanya beriadah di Air Terjun Air Terjun Tiu Kelep, Kabupaten Lombok Utara yang berada di bawah kaki Gunung Rinjani, Ahad.

Abu Bakar berkata setakat ini seramai 30 warganegara Malaysia yang berada di Lombok telah mendapatkan bantuan konsular daripada pihaknya.-- Bernama



Lombok, gempa, Abu Bakar

Artikel Lain