suria

Henti ambil Kapsul Nan Bao! KKM sahkan ada mengandungi racun berjadual

Gambar diambil daripada internet.

BAHAGIAN Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang awam supaya tidak menggunakan produk tradisional 'Nan Bao Capsule' yang dikesan mengandungi racun berjadual sildenafil dan tadalafil.

Menurut satu kenyataan, penjual dan pengedar produk ini perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta kerana melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk ini dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.

Kenyataan itu menjelaskan sildenafil dan tadalafil ialah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk dan hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh daripada farmasi dengan preskripsi doktor.

“Penggunaan sildenafil dan tadalafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan advers serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat berbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

“Sildenafil, tadalafil dan analognya adalah tidak dibenarkan dalam ubat yang dikelaskan sebagai ubat radisional. 

"Penggunaan ubat ini adalah sangat berbahaya bagi orang awam yang berisiko tinggi terhadap kesan advers itu terutamanya pesakit bermasalah jantung seperti angina yang mengambil ubat nitrate,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, nombor pendaftaran produk berkenaan ialah MAL19971474T dan ia telah dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) selepas pengesanan racun berjadual berkenaan.

Orang awam boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang www.npra.gov.my atau memuat turun aplikasi ‘NPRA Product Status' daripada Google Play Store, katanya. - Bernama

Nan Bao Capsule

Artikel Lain