suria

Wanita antara 13 ditahan, disyaki pengganas - Fuzi

SEORANG wanita antara 13 individu yang ditahan di  sekitar Semporna dan Tambunan di Sabah kerana disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas dalam operasi selama dua hari bermula 11 Mac.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas dengan kerjasama Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dan Unit 69 Komando berjaya menahan 12 warga Filipina termasuk seorang wanita dan seorang lelaki warga tempata.

“Kesemua yang ditangkap disyaki terlibat menganggotai beberapa kumpulan sama ada kumpulan Abu Sayyaf Group (ASG), kumpulan pengganas Maute atau kumpulan Royal Sulu Force (RSF).

“Ada di kalangan suspek yang ditangkap juga terlibat memberi perlindungan kepada elemen-elemen pengganas asing yang bersembunyi di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Memberikan butiran tangkapan pertama pada 11 Mac di Semporna, Sabah, Mohamad Fuzi berkata ia melibatkan lima lelaki warga Filipina dan seorang lelaki tempatan berusia 40 hingga 60 tahun.

“Empat daripada mereka disyaki terlibat dalam pertempuran bersama-sama kumpulan pengganas Maute di Bandar Marawi, Filipina pada tahun 2017.

“Mereka turut memberi perlindungan kepada elemen-elemen kumpulan pengganas Maute serta beberapa warga Timur Tengah yang bersembunyi di Sabah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan mendapati dua lagi suspek pula disyaki anggota kumpulan RSF yang terlibat dalam insiden serangan di Lahad Datu dan Semporna pada 2013.

“Mereka turut terlibat dalam merekrut anggota-anggota baru RSF dengan menjual kad keahlian kumpulan itu dalam kalangan warga Filipina yang menetap di Sabah, kedua-dua suspek telah melarikan diri ke selatan Filipina selepas kekalahan kumpulan RSF.

“Pada November 2018, kedua-dua suspek telah menyusup masuk ke Semporna untuk mengaktifkan kembali aktiviti kumpulan RSF di Sabah,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata tangkapan kedua iaitu pada hari sama di Tambunan, Sabah pula melibatkan lima lelaki dan seorang wanita warga Filipina berusia antara 23 dan 63 tahun.

“Seorang suspek iaitu pekerja buruh binaan disyaki anggota kumpulan ASG yang pernah terlibat dalam insiden serangan di bandar Marawi, Filipina dan suspek menyusup masuk ke Sabah pada Disember 2018 bagi mengelak operasi ketenteraan pihak berkuasa Filipina.

“Lima lagi suspek pula ditangkap kerana terlibat memberi perlindungan kepada elemen-elemen kumpulan pengganas ASG dan Maute yang masih bebas,” katanya.

Tangkapan pada 12 Mac pula melibatkan seorang lelaki warga Filipina berumur 39 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan kerana memberi perlindungan kepada elemen-elemen pengganas ASG dan Maute.

“Dengan tangkapan ini, polis percaya dapat mengesan dan memburu saki-baki anggota kumpulan ASG dan Maute yang masih bersembunyi di negara ini khususnya Sabah,” kata Mohamad Fuzi.

Kesemua mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Selain itu, Mohamad Fuzi berkata seramai 10 warga Filipina yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah turut ditahan dan mereka telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.  -- Bernama

Fuzi, pengganas

Artikel Lain