suria

Buaya terperangkap dalam jaring dipukul tanpa belas kasihan

VIDEO dan gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan sekumpulan lelaki di Miri, Sarawak memukul seekor buaya yang terjerat dalam jaring ikan dengan kejam.

The Star menerima rakaman video daripada dua sumber berbeza dan telah menghantarnya kepada pegawai kanan di Ibu Pejabat Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) di Kuching.

Kejadian itu dikatakan berlaku di Batu Satu Miri.

Pada pukul 9.30 pagi Jumaat, pengurus besar SFC Oswald Bracken menghantar mesej mengatakan beliau telah mengarahkan Pasukan Tindakan Hidupan Liar untuk menyiasat perkara itu.

"Kami mahu mengenal pasti lokasi sebenar sekarang," kata mesej tersebut.

Video itu menunjukkan beberapa lelaki yang memakai topi keledar keselamatan dan kasut yang dipakai oleh pekerja, memukul kepala buaya yang terperangkap dalam jaring.

Kemudian, seseorang daripada media sosial berkata lokasi kejadian adalah di Batu Satu Miri.

Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia Miri, Musa Musbah berkata, pembunuhan secara kejam itu tidak wajar dilakukan.

Video berkenaan menunjukkan seekor buaya bergelut dan berpusing-pusing ketika dipukul dengan penukul dan kayu. - The Star


buaya

Artikel Lain